JITRA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM17,000 ke atas peniaga dalam Op Menu sejak 6 November lalu.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, sebanyak 4,619 pemeriksaan dilakukan ke atas premis perniagaan dan 58 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikesan.
Menurutnya, Op Menu bertujuan memastikan peniaga mematuhi perundangan berkaitan penandaan tanda harga, penggunaan alat timbang sah serta tidak memanipulasi harga barangan.
“Di Kedah, sebanyak dua kes dikesan iaitu di daerah Langkawi dan Kota Setar yang melibatkan peniaga gagal mempamerkan tanda harga.
“Kes tertinggi dicatatkan di Sabah diikuti Terengganu, Perak, Johor, Selangor, Melaka dan Sarawak,” katanya selepas melakukan pemeriksaan harga sayur dan barangan bahan mentah di Pasar Awam Jitra di sini hari ini.
Menurut Shamsul Nizam, sebanyak 1,500 lokasi di seluruh negara diperiksa dan sebanyak 480 harga barangan direkodkan untuk mengenal pasti sama ada berlaku kenaikan atau sebaliknya.
“Sekiranya berlaku kenaikan terhadap barangan itu, kami akan menyiasat sebab dan faktor berlakunya kenaikan harga terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu katanya, KPDNHEP juga akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bermula Selasa ini sehingga 31 Disember ini sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan.
“Selepas 7 Disember ini, sekiranya masih ada peniaga yang menaikkan harga barangan dan melakukan kesalahan dengan tidak meletakkan tanda harga, harga yang mengelirukan serta kesalahan alat timbang, tindakan kompaun akan diambil serta-merta,” katanya.










