PRN: AMK sasar lima kerusi di Johor, Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

PRN: AMK sasar lima kerusi di Johor, Negeri Sembilan

MUHAMMAD Izuan Ahmad Kasim (duduk, dua dari kiri) dalam sidang akhbar di salah sebuah hotel di Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) sasar mengenengahkan calon di sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 11 Julai depan.

Sasaran sama bagi calon dalam kalangan AMK itu turut ditetapkan pada PRN Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, bagaimanapun, keputusan akhir calon yang layak bertanding dalam kedua-dua PRN tersebut diserahkan kepada pertimbangan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, senarai calon telah dihantar melalui proses tapisan dan diharapkan mereka yang dicadangkan itu mendapat restu pimpinan.

“Bagi PRN Johor, AMK mengemukakan antara tujuh hingga lapan nama manakala untuk PRN Negeri Sembilan pula, sekitar enam nama telah dihantar untuk pertimbangan dan tapisan,” katanya dalam sidang akhbar salah sebuah hotel di sini malam tadi.

Hari mengundi PRN Johor ditetapkan 11 Julai manakala bagi Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini melibatkan seramai 3.61 juta pengundi berdaftar.

Sementara itu, Muhammad Izuan berkata, peluang Pakatan Harapan (PH) memenangi PRN Johor dan Negeri Sembilan masih terbuka serta seimbang berikutan keadaan demografi di kedua-dua negeri tersebut adalah berbeza, selain turut mempunyai isu-isu tersendiri.

“Di Johor, kita boleh menilai berdasarkan prestasi kerajaan negeri sedia ada. Bagaimanapun, kita yakin dengan gerak kerja yang telah dilaksanakan, tidak mustahil PH mampu mencapai keputusan yang baik. Jika kita lihat trend sebelum ini, UMNO sering mengharapkan kadar keluar mengundi yang rendah.

“Sebaliknya, apabila jumlah pengundi keluar mengundi tinggi seperti dalam Pilihan Raya Umum (PRU), keputusan diterjemahkan kepada jumlah kerusi sering kali tidak memihak kepada mereka (UMNO). Sebab itu, kita menyeru rakyat supaya keluar mengundi dan menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Muhammad Izuan berkata, buat masa ini, PH masih menjalankan rundingan membabitkan beberapa kerusi yang masih bertindih dalam kalangan parti-parti komponen.

Katanya, ia dijangka diselesaikan dalam tempoh tiga atau empat hari akan datang.

“Apabila kita mendapat isyarat bahawa UMNO akan bergerak secara solo, PH terus memulakan rundingan kerusi antara PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. Perbincangan berjalan dengan baik dan tiada masalah besar yang timbul dengan setiap parti kini bergerak mengikut peranan masing-masing sementara menunggu rundingan dimuktamadkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN