PETALING JAYA: Kuarantin di rumah dan pemakaian peranti digital kepada individu-individu yang baru pulang daripada negara berisiko belum memadai mengekang penularan varian Omicron dalam komuniti jika tiada tindakan tegas serta pengawasan ketat dilakukan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, mana-mana individu yang pulang daripada mengunjungi negara-negara luar khususnya negara berisiko mempunyai varian Omicron perlu dibawa terus ke pusat kuarantin supaya tidak bercampur dengan komuniti.
“Jika hanya memakaikan peranti digital dan dibenarkan melakukan kuarantin di rumah, dikhuatiri mereka bercampur dengan komuniti kerana tiada pengawasan yang tegas lalu menyebabkan varian semakin menular di dalam masyarakat,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan mengesan 49 kes baharu varian Omicron di Malaysia sehingga kelmarin yang mana 45 kes baharu varian itu dikesan susulan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 15 Disember sehingga Selasa lalu yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Thailand turut memaklumkan wujudnya kelompok jangkitan Covid-19 varian Omicron domestik pertama di wilayah Kalasin di timur laut negara tersebut dengan jangkitan baharu sebanyak 21 kes.
Sementara itu, di Portugal, Omicron menjadi varian dominan selepas terdapat 10,000 kes harian berhubung varian tersebut dilaporkan walaupun kadar vaksinasi di negara eropah tersebut adalah di kadar yang tertinggi.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Halimatus Sakdiah Minhat turut menyatakan kebimbangannya varian Omicron sudah berada di dalam komuniti.
Jelas beliau, varian Omicron mewujudkan kebimbangan kerana menyebabkan peningkatan kes secara mendadak memandangkan kadar jangkitan varian tersebut sangat pantas dan mudah dijangkiti oleh mereka yang berisiko tinggi.
“Ambil dos pengalak terutama yang menerima vaksin Sinovac bagi mengukuhkan perlindungan diri daripada varian Omicron. Walaupun ramai mengatakan ia tidak memberikan manifestasi penyakit kritikal secara umum.
“Tetapi kebarangkalian untuk menjangkiti dan menyebabkan kematian dalam kalangan komuniti terutama yang berisiko tinggi seperti warga emas atau mereka dengan komorbiditi masih ada,” tegasnya.
Tambahnya, buat masa kini masih tidak ada pihak yang dapat mengetahui kesan sebenar varian Omicron, namun tidak mustahil angka kematian melonjak bergantung kepada magnitut jangkitan.
“Ditambah pula dengan bencana banjir, saya rasa ia akan menyukarkan kerja-kerja mengekang penularan terutama dalam kalangan mereka yang ditimpa musibah banjir dan peningkatan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS), memandangkan varian Omicron berada di dalam komuniti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











