fbpx

28 Januari 2022, 7:53 pm

  TERKINI

Negara mungkin catat rekod lantik banduan jadi PM – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini secara sinis berkata, negara dijangka mencipta rekod dengan melantik banduan sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan sinis  tersebut dibuat selepas keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak  menangguhkan hukuman ekoran kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn. Bhd.

“Alhamdulillah. Malaysia mungkin buat rekod sekali lagi kerana banduan dianugerah jawatan Perdana Menteri. Jika dia menang dan sekali lagi jadi ahli Dewan Rakyat, apakah dia boleh jadi Perdana Menteri juga.

“Undang-undang tidak berkata ia tidak boleh. Jika undang-undang tidak berkata tidak boleh, maka mengikut undang-undang tentulah ia boleh,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Terdahulu, untuk sementara waktu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri itu masih boleh bebas selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan peguam belanya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.

Mahkamah turut mengekalkan syarat-syarat yang dikenakan terhadap Najib sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi iaitu dengan jaminan RM2 juta, pasport perlu diserahkan ke mahkamah dan perlu lapor diri ke balai polis berdekatan dua kali sebulan. – UTUSAN ONLINE 

POPULAR

KOSMO! TERKINI