Naluri kuat cucu lemas - Datuk - Utusan Malaysia

Naluri kuat cucu lemas – Datuk

ABD. Rahman Mamat, 63, menunjukkan gambar  Muhammad Syafiq Abdullah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kebimbangan seorang datuk terhadap keselamatan cucunya yang hilang sejak semalam menjadi kenyataan setelah kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemukan lemas di sebuah paya di Kampung Gong Beris berhampiran Pulau Kerengga di Marang, hari ini.

Abd. Rahman Mamat, 63, berkata, nalurinya kuat mengatakan Muhammad Syafiq Abdullah lemas susulan penemuan sebiji bola milik cucunya di permukaan paya.

Katanya, walaupun usaha pencarian kali pertama di lokasi itu gagal menemukan mangsa, namun dia kembali semula ke paya berkenaan awal pagi ini bagi mencari petunjuk.

“Cucu saya suka bermain bola sepak di situ berseorangan mahu pun bersama beberapa rakannya. Malam semalam ketika operasi pencarian di situ, kami tidak menemukan apa-apa.

“Bagaimanapun, pada pukul 8 pagi ini mayat cucu saya ditemukan terapung,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Abd. Rahman berkata, kali terakhir dia bertemu cucu ketiganya itu ketika pulang melawat keluarga mangsa di Kampung Gong Beris, minggu lalu.

“Jika saya tidak sempat melawat mereka sekeluarga, mangsa akan menghubungi saya melalui telefon dan arwah juga seorang yang boleh diharap walaupun baru berusia enam tahun,” katanya.

Kehilangan Muhammad Syafiq disedari ibunya, Siti Maznah Abdul Rahman pada pukul 6 petang semalam dan mangsa difahamkan tidak pulang hingga pukul 8 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya