Najib mohon Mahkamah Rayuan terima bukti baharu - Utusan Malaysia

Najib mohon Mahkamah Rayuan terima bukti baharu

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan di sini membuat keputusan atas rayuannya berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memohon agar mahkamah itu menerima masuk bukti baharu.

Bukti baharu itu, dakwa Najib, antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Notis usul dan afidavit sokongan untuk memasukan bukti atau keterangan baharu itu difailkan di Mahkamah Rayuan melalui firma guaman, Tetuan Shafee & Co. pagi tadi.

Najib dalan afidavit sokongannya menyatakan, beliau memfailkan notis usul itu tanpa lengah selepas mendapati keterangan-keterangan berkaitan penglibatan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan bahawa Singapura telah memulangkan AS$15.4 juta yang berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd.yang antaranya dipunyai suami Zeti, Tawfiq Ayman.

Selain itu, Najib turut mendakwa, keluarga Zeti telah menerima RM65 juta daripada Jho Low hasil penyelewengan dana 1MDB.

Najib turut memohon mahkamah mendapatkan keterangan lisan viva (viva voce) daripada bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut berkaitan dengan dakwaan penglibatan Zeti dan keluarganya.

“Saya sesungguhnya percaya keterangan tambahan dua individu ini adalah perlu demi menjaga kepentingan keadilan memandangkan kesan material keterangan itu. Saya juga percaya keterangan yang dicadangkan untuk dikemukakan melalui permohonan ini berkaitan rayuan SRC International adalah wajar dan sesuai,” kata Najib.

Rosli merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International itu manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan mahupun pembelaan.

Selain itu, Najib dalam afidavit sokongannya menyatakan, keterangan baharu itu perlu dimasukkan secara lisan dan oleh itu, prosiding pendengaran rayuan yang telah tamat pada 15 Mei lalu perlu ‘dimulakan semula’ bagi membolehkan keterangan-keterangan baharu itu dimasukkan dalam rekod rayuan untuk pertimbangan panel hakim sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, keterangan-keterangan baharu itu sekiranya tidak ‘disorok’ oleh BNM, SPRM dan juga pendakwaan, ia boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya dan mampu menimbulkan keraguan munasabah dalam kes SRC International.

Dakwa Najib, keterangan-keterangan yang dicadangkan tidak didedahkan kepadanya telah menjejaskan hak beliau untuk mendapatkan perbicaraan yang adil atas sebab-sebab politik.

Sekiranya notis usul itu diterima, maka keputusan Mahkamah Rayuan atas sabitan salah dan hukuman penjara serta denda yang dijadualkan dibuat Rabu depan (8 Disember) perlu ditangguhkan.

Pada 23 November lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar tarikh keputusan itu ditukar ke tarikh lain kerana Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari Singapura.

Permohonan tersebut bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Rayuan keesokan harinya dan mahkamah terbabit telah mengarahkan agar pihak-pihak hadir pada tarikh yang telah ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya