KUALA LUMPUR: UMNO bersedia menerima Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sebagai salah satu parti teras dalam Barisan Nasional (BN), namun perkara itu tertakluk kepada persetujuan sebulat suara semua parti komponen gabungan tersebut.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak pernah meragui kesetiaan KIMMA, namun proses penerimaan sebagai parti teras perlu mematuhi perlembagaan BN.
“UMNO tidak pernah meragui kesetiaan KIMMA kepada UMNO. Kesetiaan itu ada nilainya dan nilai itu perlu dihargai.
“Walau setinggi mana pun nilai kesetiaan itu, ia perlu diraikan, namun kita berdepan kekangan tertentu.
“Kekangan tersebut ialah perlembagaan BN yang menetapkan mana-mana permohonan untuk menjadi parti teras mesti mendapat persetujuan sebulat suara atau 100 peratus daripada parti teras sedia ada. Perkara itu masih belum dicapai,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung KIMMA ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sebelum ini, permohonan KIMMA untuk menyertai BN sebagai parti teras telah dikemukakan beberapa kali, namun tidak mendapat persetujuan semua parti komponen.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, sekiranya benar terdapat parti komponen yang tidak lagi menghalang penyertaan KIMMA, mereka perlu menyatakan pendirian secara rasmi.
“Jika benar tiada lagi halangan terhadap kemasukan KIMMA ke dalam BN, maka saya menggesa parti berkenaan menyatakan pendirian rasmi seperti yang saya sebutkan dalam ucapan tadi.
“Ia termasuk keperluan untuk meminda Perlembagaan BN bagi membolehkan KIMMA diterima sebagai parti teras, selain membuka ruang kepada parti lain,” katanya. – UTUSAN







