KIMMA nafi kerjasama dengan PN, kekal setia bersama BN

KIMMA nafi kerjasama dengan PN, kekal setia bersama BN

RAIS AHMAD MOHAMED HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menafikan dakwaan bahawa parti itu telah menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Ketua Pemudanya, Rais Ahmad Mohamed Hussain berkata, KIMMA merupakan sebuah parti komponen yang sentiasa berdiri teguh dan setia bersama Barisan Nasional (BN) serta parti teras gabungannya, iaitu UMNO.

“Sejak penubuhannya, KIMMA telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim di negara ini melalui wadah perjuangan BN yang berlandaskan kestabilan politik, keharmonian kaum dan pembangunan negara.

“Sehubungan itu, sebarang dakwaan atau persepsi bahawa KIMMA menjalinkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional dalam PRN Johor adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.

“KIMMA tidak pernah membuat sebarang keputusan atau ketetapan yang bertentangan dengan dasar serta semangat kerjasama yang telah dipersetujui dalam keluarga besar Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya sebelum ini mendakwa, sebanyak lapan parti telah mengadakan pakatan dengan PN untuk berdepan PRN Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin lalu.

Selain KIMMA, beliau berkata, parti lain yang terlibat ialah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Bagaimanapun, berdasarkan semakan terkini yang dilakukan di laman Facebook tersebut, nama KIMMA telah digugurkan daripada senarai lapan parti terbabit.

Dalam pada itu, Rais Ahmad berkata, KIMMA akan terus komited mendukung perjuangan BN dan UMNO dalam usaha membina negara yang lebih stabil, makmur dan bersatu demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Jentera KIMMA negeri Johor seperti biasa bersiap sedia untuk turun padang lebih awal dan bekerja demi kemenangan calon Barisan Nasional,” ujar beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN