Masuk semula tanpa tuntutan, demi perkukuh UMNO - Khairy

Masuk semula tanpa tuntutan, demi perkukuh UMNO – Khairy

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, kepulangannya ke dalam UMNO bukan dengan sebarang tuntutan, sebaliknya tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin bagi memperkukuhkan UMNO.

Malah, beliau juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan serta akar umbi bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Semoga keputusan ini menjadi titik permulaan baharu untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa,” katanya menerusi hantarannya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO secara rasmi menerima semula 6,252 bekas pimpinan dan ahli yang sebelum ini pernah dipecat, digantung atau keluar daripada parti secara sukarela.

Katanya, Ahli MKT menyokong dan mendukung penuh gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang dipengerusikan oleh YAB Presiden UMNO untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang pernah digantung, dipecat, atau keluar atas apa jua faktor.

Sebelum ini, Khairy mengemukakan permohonan rasmi untuk membatalkan pemecatan keahliannya termasuk mengekalkan nombor keahlian asal, yang diserahkan kepada Ahmad Zahid dalam satu pertemuan bulan lalu atas semangat Rumah Bangsa.

Sementara itu Khairy berkata, tempoh di luar parti telah memberinya ruang untuk muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan UMNO susulan keputusan menerima semula beliau sebagai ahli parti.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kebijaksanaan serta pertimbangan yang diberikan dalam menerima kembali permohonan saya sebagai ahli parti.

“Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah membuat keputusan ini dengan penuh hikmah dan keinsafan terhadap masa depan perjuangan parti.

“Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran, serta menyedari amanah besar yang hadir bersamanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×