PETALING JAYA: Nadwah Sastera Islam Serantau perlu mendapatkan perhatian daripada penulis, penyelidik dan pecinta sastera di seluruh negara bagi menyuburkan kesedaran terhadap sumbangan besar persuratan Islam dan memberi masyarakat ilmu berkualiti.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Arifin Mohd. Arif berkata, kewajipan setiap insan adalah menuntut ilmu supaya setiap individu dapat membezakan antara hak dengan yang batil dan berilmu dalam melayari kehidupan dunia.
Menurut beliau, setiap pengkarya perlu memperbanyak karya sastera yang sarat dengan perkara-perkara baik, berkait dengan ilmu pengetahuan dan menyeru manusia ke arah kebaikan kerana itu adalah gesaan agama Islam.
“Perkara-perkara inilah yang menjadi gesaan Islam agar karya sastera ditunjangi oleh asas-asas ilmu yang bermanfaat dan perkara-perkara kebaikan.
“Islam tidak sekali-kali menolak seri sastera mutlak. Islam sudah pun menyediakan panduan yang cukup jelas bagi setiap insan untuk berpegang kepadanya dalam proses penghasilan karya sastera menepati garis panduan Islam,” katanya dalam ucapan perasmiannya.
Nadwah Sastera Islam Serantau adalah sebuah program perkongsian ilmu tanpa sempadan, program tersebut dahulunya dilakukan secara bersemuka namun diperluas capaian khalayaknya pada masa kini supaya bertepatan dengan norma baharu dalam era pandemik.
Arifin berkata, seseorang karyawan sastera Islam mestilah memiliki akidah Islam yang jelas dan sentiasa mengingati Allah secara berterusan supaya sebagai seorang karyawan muslim tidak tergelincir daripada landasan Islam.
Jelasnya, cabang persuratan Islam seharusnya lebih fokus kerana kandungannya melibatkan ilmu agama, fardhu ain dan fardhu kifayah.
“Para penulis perlu bertanggungjawab atas setiap karyanya kerana soal agama bukanlah perkara yang boleh dipermain-mainkan, saya yakin kecintaan terhadap sastera Islam yang dipupuk sejak peringkat awal lagi mampu menjadikan generasi muda kita mempunyai jati diri beragama yang teguh dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambahnya, program berkongsepkan ilmu perlu sentiasa dilakukan kerana mampu menyemarakkan bahasa dan memupuk pemahaman terhadap karya sastera yang berkualiti serta bakal memberi sumbangan besar dalam mewujudkan masyarakat yang berbudaya tinggi.
Program ini yang bertemakan “Manhaj Rabbani dalam Persuratan Islam dihadirii Ketua Satu Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan
(PERWILA), Profesor Dr. Harun Pudin; Ketua Satu Angkatan Sasterawan dan Sasterawani, (ASTERAWANI) Brunei, Profesor Ampuan Dr. Brahim Ampuan Tengah;
Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Abd. Naddin Shaiddin, dan Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara (MDN) Negeri Sabah Samin Ongki.
Dalam program, itu juga sebanyak tujuh makalah dibentangkan termasuklah ucap utama yang akademik tersohor dalam bidang kesusasteraan bandingan,
Profesor Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yapar. – UTUSAN ONLINE










