MySJ Trace boleh dimuat turun hari ini - Utusan Malaysia

MySJ Trace boleh dimuat turun hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan satu ciri tambahan baharu bagi aplikasi MySejahtera dikenali sebagai MySejahtera Trace (MySJ Trace).

Orang awam dinasihati mengemas kini aplikasi MySejahtera bagi mengaktifkan fungsi MySJ Trace itu dan ia boleh dimuat turun bermula hari ini.

MOSTI dan KKM menerusi kenyataan bersama hari ini memaklumkan, MySJ Trace adalah fungsi tambahan kepada aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan Covid-19 dengan menggunakan teknologi bluetooth.

Menurutnya, fungsi baharu itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate and Support (FTTIS), iaitu satu daripada program pemantauan KKM dalam aktiviti pencegahan dan mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan Covid-19, pengguna mestilah mengaktifkan bluetooth dalam peranti mudah alih masing-masing sepanjang masa.

“Apabila seorang individu itu disahkan positif Covid-19, notifikasi akan diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kebenaran untuk berkongsi maklumat kontak rapat yang dikesan,” katanya.

Katanya, sekiranya individu tersebut memberikan kebenaran, MySejahtera akan memberikan akses kepada KKM untuk melakukan penilaian risiko ke atas data-data kontak rapat yang dikesan daripada penggunaan bluetooth itu.

Jelasnya lagi, selepas kebenaran diberikan, KKM akan menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat yang dikenal pasti.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya individu yang didapati positif Covid-19 tidak memberikan kebenaran, MySejahtera tidak akan memberikan akses kepada KKM dan aktiviti pengesanan kontak rapat akan dilakukan secara manual.

“Aplikasi MySJ Trace menggunakan anonymized Unique User ID (UUID) dan tidak mengumpul maklumat pengguna serta geo-lokasi. Data tersebut hanya boleh diakses oleh KKM dan disimpan dalam peranti pengguna untuk tempoh 14 hari.

“Keseluruhan proses pengesanan kontak dan penyimpanan data juga adalah dijamin keselamatan dan kerahsiaannya oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, dengan bermulanya fungsi MySJ Trace ini, modul daftar keluar atau check-out akan diberhentikan dan dikeluarkan daripada aplikasi MySejahtera. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya