Mesyuarat bincang daftar GRS dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Mesyuarat bincang daftar GRS dalam masa terdekat

HAJIJI Noor (tengah) bersama Ronald Kiandee (kiri) dan Maximus Ongkili semasa Sesi Taklimat mengenai MKMA63 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan pendaftaran gabungan itu sebagai parti politik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, parti-parti komponen dalam GRS perlu duduk berbincang mengenai cadangan berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini, kita akan panggil satu mesyuarat dengan parti-parti gabungan GRS.

“Kita akan bincang banyak perkara mengenai isu-isu yang ditimbulkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sesi Taklimat mengenai Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) hari ini.

Pengerusi GRS berkata, parti komponen dalam GRS perlu berbincang mengenai cadangan mendaftarkan GRS.

Sekiranya pendaftaran itu baik untuk politik Sabah, beliau percaya semua komponen parti akan setuju. Selepas itu, barulah keputusan akan dilakukan.

Jelas beliau, sama ada terdapat komponen parti yang tidak berminat dengan pendaftaran gabungan itu, Hajiji tidak boleh menyatakan sebegitu kerana perbincangan belum dilakukan.

Pada 25 November lalu, Pengerusi Kelab Backbenchers GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan GRS didaftarkan sebagai gabungan parti politik secara rasmi bagi mengelak berlaku pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Salleh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, PRN Melaka memberi petunjuk jelas untuk pemimpin politik GRS untuk memperkasakan hala tuju GRS.

Sebelum ini, beberapa parti komponen GRS menyokong cadangan tersebut bagi mewujudkan sebuah gabungan yang bersatu untuk mengelak berlaku pertembungan semasa berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas tentang keperluan meningkatkan kawalan pemeriksaan Imigresen bagi individu yang tiba dari Labuan di Menumbok dan Terminal Feri Kota Kinabalu, Hajiji berkata, perkara itu akan dilihat secara menyeluruh.

“Memang amalan sehingga sekarang begitu, apabila tiba dari Semenanjung atau tempat lain, mereka hanya akan diperiksa pihak Imigresen di Labuan sahaja. Jadi, timbul persoalan kenapa tidak diperiksa di sini (Sabah).

“Kita akan lihat secara menyeluruh mengenai rasional yang berlaku kerana selama ini amalannya begitu. Tapi, permintaan rakyat mahu individu yang datang ke Sabah melalui pemeriksaan Imigresen. Kita akan kaji kalau ia perlu dilaksanakan atau tidak, kita akan mendapatkan laporan daripada pihak imigresen,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.