PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi gesaannya sebelum ini bahawa negara ini memerlukan undang-undang anti lompat parti.
Beliau berkata, pihaknya sedar bahawa rakyat sudah bosan dengan politik apabila pengundi telah pilih kerajaan melalui pilihan raya, tetapi kerajaan pilihan rakyat ini dijatuhkan bukan mengikut sistem demokrasi.
Katanya, ini kerana ia dijatuhkan melalui lompatan wakil rakyat ke sebelah parti yang kalah, maka parti yang kalah itu menjadi kerajaan.
“Soalnya apa guna rakyat pilih kerajaan jika ia boleh dijatuhkan dan diganti dengan pihak yang ditolak oleh rakyat. Apa gunanya Pilihan Raya Umum (PRU) jika pilihan rakyat boleh diganti tanpa PRU oleh mereka yang ditolak oleh rakyat.
“Dalam kalangan mereka yang kecewa dan bosan dengan politik yang menidakkan hak rakyat, mungkin timbul pendapat bahawa PRU tidak berguna. Mereka mungkin membuat keputusan tidak mengundi.
“Malangnya jika mereka tidak mengundi, parti yang mereka tidak sokong iaitu parti perasuah dan yang terlibat dengan mencuri duit kerajaan, salah guna kuasa akan menang kerana pengikut mereka ini akan mengundi mereka setelah disogok. Dan akan terbentuklah kerajaan perasuah pencuri dan penyalahguna kuasa.
“Maka akan mengeluhlah pengundi yang tidak mengundi kerana keadaan sudah jadi lebih buruk. Tetapi jika mereka undi pun, melalui pintu belakang perasuah dan pencuri masih boleh jatuhkan kerajaan pilihan mereka dan diri kerajaan yang ditolak oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 17 September lalu, Dr Mahathir dilaporkan menggesa agar satu kajian lebih mendalam perlu dilakukan sebelum membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat parti di Dewan Rakyat.
Menurut Mahathir, dengan adanya undang-undang lompat parti, mereka yang lompat akan hilang keahlian mereka sebagai wakil rakyat, maka pilihan raya kecil (PRK) boleh diadakan.
“Terpulanglah kepada rakyat samada memilihnya atau orang lain. Jika rakyat setuju dengannya, beri kemenangan kepadanya maka jatuhlah kerajaan pilihan rakyat. Jika ia dikalahkan, maka kerajaan pilihan rakyat akan kekal.
“Jika mereka yang bosan dengan politik memberi kemenangan besar kepada calon antirasuah maka pintu belakang tidak boleh diguna untuk tukar kerajaan, sebaliknya jika kemenangan puak antirasuah tipis, maka keadaan tidak menentu dan percubaan memasuki pintu belakang akan berulang.
“Sama ada negara kita dapat dipulih semula atau tidak, terpulang kepada rakyat yang sayang kepada negara dan ingin lihat perasuah dan penyangak dikalahkan.
“Hanya dengan menyokong (mengundi) secara besar-besaran calon-calon yang bersih daripada kluster mahkamah sahaja barulah kita akan selamat. Siapakah mereka?,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE