MAH, PDRM kerjasama tingkat keselamatan hotel dari aktviti jenayah - Utusan Malaysia

MAH, PDRM kerjasama tingkat keselamatan hotel dari aktviti jenayah

FISOL Salleh dan K. Raj Kumar pada pertemuan antara pegawai PDRM Pulau Pinang dan pihak pengurusan hotel berhubung inisiatif CRASH di Georgetown, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang menjalin kerjasama lebih erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah mewujudkan persekitaran pelancongan yang selamat di negeri ini. 

Menerusi kempen yang dikenali sebagai Mewujudkan Hubungan dan Keselamatan Hotel (CRASH) itu, kedua-dua pihak bekerjasama dalam memastikan hotel-hotel di negeri ini menjadi lokasi yang selamat daripada risiko kejadian jenayah. 

Pengerusi MAH Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, pihaknya menyedari hotel-hotel turut menjadi sasaran kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan pelbagai kegiatan jenayah sekali gus mengancam keselamatan kakitangan hotel dan pengunjung. 

Antara yang sering dilaporkan jelasnya, seperti penipuan kad kredit, judi online dan pelacuran malah sehingga menjadi lokasi pengedaran dadah serta pengubahan wang haram. 

“Sehubungan itu, kita mahu pengunjung hotel menyedari kita mempunyai kerjasama yang baik dengan pihak polis sekali gus memberi keyakinan yang mana keselamatan mereka sentiasa dilindungi dan diberi keutamaan sepanjang menginap di hotel di negeri ini. 

“Ini juga sebenarnya antara kerjasama awal antara MAH Pulau Pinang dengan  PDRM yang mana lebih banyak inisiatif lain dilaksanakan selepas ini ke arah mewujudkan persekitaran hotel yang selamat di negeri ini,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan barisan kepemimpinan PDRM Pulau Pinang yang diketuai Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain di sini hari ini. 

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh. 

Menerusi inisiatif CRASH itu, MAH Pulau Pinang berharap PDRM dapat meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan hotel bagi mengelakkan lokasi itu menjadi tumpuan penjenayah selain menawarkan sesi latihan kepada kakitangan hotel melibatkan aspek perundangan berkaitan. 

Dalam perkembangan sama, Fisol berkata, sepanjang dua tahun lalu, terdapat kira-kira 20 kes jenayah yang berlaku di hotel negeri ini melibatkan kes seperti curi, samun, rogol dan sebagainya. 

Sehubungan itu, katanya, kerjasama antara MAH Pulau Pinang menerusi CRASH tersebut juga selari dengan tumpuan PDRM negeri khususnya sepanjang tahun depan dalam mencegah berlakunya jenayah lebih awal. 

“Kerjasama ini adalah langkah tepat dalam membolehkan polis bertindak lebih awal dalam mencegah jenayah dengan adanya maklumat daripada pihak hotel yang mengesan kemungkinan berlakunya sebarang aktiviti jenayah di hotel-hotel,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya