Lebih RM3 bilion saman trafik tertunggak di Johor - Utusan Malaysia

Lebih RM3 bilion saman trafik tertunggak di Johor

AYOB Khan Mydin Pitchay meninjau kaunter pembayaran saman trafik di Balai Polis Trafik Johor Bahru di sini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak RM3.021 bilion saman tertunggak direkodkan Polis Johor membabitkan 10,073,023 keping saman yang telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak 2000 hingga kini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, daripada jumlah itu, saman tertunggak melibatkan warga Singapura adalah sebanyak RM58.07 juta.

Katanya, jumlah itu melibatkan sebanyak 193,583 saman yang dikeluarkan pihaknya terhadap pemandu republik berkenaan.

“Antara kesalahan direkodkan termasuk memandu laju, menghalang lalu lintas, melanggar lampu isyarat, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, ubah suai kenderaan dan mengguna telefon bimbit,” katanya ketika ditemui pemberita di Cawangan Trafik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan kira-kira 20 minit melihat proses pembayaran saman sempena diskaun 80 peratus di Ibu Pejabat Polis Trafik Johor.

Tambah Khairul Azhar, sejak 1 Disember hingga semalam, pihaknya telah mengutip pembayaran saman berjumlah RM4.8 juta dengan RM1.6 juta dikutip semalam iaitu sejak diskaun 80 peratus bermula.

“Setakat ini, daerah yang paling banyak mencatat kutipan saman membabitkan Johor Bahru Selatan dengan kutipan RM730,960, manakala Batu Pahat (RM539,380) dan Muar (RM469,500).

“Bagi memudahkan urusan pembayaran saman, orang ramai boleh mengunjungi 14 cawangan trafik di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) dalam Johor untuk urusan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya berharap masyarakat akan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi ini untuk menjelaskan saman mereka pada harga diskaun 80 peratus iaitu sehingga 12 Disember ini,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Zaidi Mokhtar, 44, memberitahu, dia memang menunggu pelaksanaan promosi pembayaran saman dengan diskaun 80 peratus.

“Saya memang berhasrat untuk membayar saman sebelum ini, namun saya tangguh dahulu kerana tahu polis akan membuat promosi diskaun 80 peratus bermula 9 Disember hingga 12 Disember.

“Jadi sekarang baharu saya membayar saman berkenaan,” katanya yang membuat pembayaran berjumlah RM120 untuk tiga saman termasuk memandu laju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN