Pengalaman hampir 40 tahun perkukuh klinik Dr. Kamsiah

Pengalaman hampir 40 tahun perkukuh klinik Dr. Kamsiah

DR. Kamsiah (berdiri tengah, enam dari kiri) bersama warga kerja Klinik Pergigian Dr Kamsiah di TTDI, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Berbekalkan pengalaman hampir empat dekad dalam bidang pergigian, Dr. Kamsiah Haider terus mengembangkan perniagaannya dengan menggabungkan kepakaran klinikal dan teknologi digital menerusi pembukaan klinik baharu di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Pada usia 63 tahun, beliau masih aktif mengendalikan kes pergigian kompleks, manakala anaknya, Elyas Izzat, mengambil tanggungjawab menguruskan perniagaan keluarga itu dengan memberi tumpuan kepada pemasaran digital serta peluasan operasi.

“Selepas hampir 40 tahun dalam bidang pergigian, saya sebenarnya boleh sahaja memperlahankan rentak kerja, namun entah mengapa, itu bukan diri saya yang sebenar,” kata Kamsiah ketika ditemui sempena pembukaan klinik baharunya pada Sabtu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kamsiah memulakan kerjaya selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM) pada 1987 sebelum berkhidmat sebagai pensyarah, kemudian membuka klinik swasta di TTDI pada 1 Mei 1996.

Selepas hampir 30 tahun beroperasi di premis lama, beliau mengambil keputusan memperluaskan perniagaan itu susulan ruang sedia ada yang tidak lagi mampu menampung keperluan operasi.

“Pada mulanya, anak saya mahu mengambil alih perniagaan dan mencadangkan supaya kami mengembangkan operasi kerana mendapati ruang sedia ada tidak lagi mencukupi,” katanya.

Klinik itu kini mempunyai 11 doktor gigi bersama 24 kakitangan lain, termasuk pasukan pemasaran dan pencipta kandungan yang memainkan peranan memperkenalkan perkhidmatan menerusi platform digital.

“Sekarang ini semuanya perniagaan Gen Z. Elyas dan pasukannya menggunakan pendekatan berbeza, termasuk pemasaran digital dan TikTok Live, manakala saya lebih selesa menumpukan perhatian kepada rawatan kerana itulah bidang kepakaran saya,” katanya.

Dari segi klinikal, Kamsiah memberi tumpuan kepada prostodontik, implan pergigian dan pemulihan keseluruhan mulut, termasuk kes yang memerlukan perancangan rawatan secara terperinci.

Minatnya terhadap bidang implan bermula pada awal kerjaya apabila mengikuti latihan di Sweden dari 1990 hingga 1993, sebelum meneruskan pembelajaran bersama pakar di Perth, Australia, pada 1995 serta mengikuti latihan di beberapa negara lain.

“Untuk belajar dengan seorang pakar di luar negara, saya pernah membayar 10,000 euro bagi latihan selama dua hingga tiga hari kerana bagi saya, jika mahu menguasai sesuatu teknik, kita perlu melihat sendiri bagaimana ia dilakukan dan memahami prosesnya,” katanya.

DR. Kamsiah.

Antara teknik yang dikuasainya ialah prosedur yang membolehkan pesakit menjalani cabutan gigi, pemasangan implan dan menerima gigi baharu pada hari sama, tertakluk kepada keadaan serta kesesuaian klinikal.

Klinik itu turut memanfaatkan teknologi digital, termasuk pengimbas muka dan pengimbas intraoral bagi membantu doktor merancang rawatan berdasarkan keadaan setiap pesakit.

“Ramai yang ada komputer, tetapi tidak ramai boleh menggunakannya untuk rawatan seperti ini kerana kita perlu memahami konsepnya, bukan sekadar menggunakan mesin atau membuat rawatan secara agak-agak,” katanya.

Kepakaran berkenaan menarik pesakit dari pelbagai lokasi, termasuk Johor, Kelantan, Singapura dan daerah di Indonesia, Riau dan Medan, manakala media sosial turut memudahkan pesakit dari luar negara menghubungi klinik itu untuk mendapatkan maklumat rawatan.

“Kadang-kadang pesakit sudah pergi ke empat atau lima klinik tetapi masih belum mendapat penyelesaian, jadi apabila mereka datang kepada saya, kita akan menilai kes itu dan melihat bagaimana teknologi boleh membantu merancang rawatan yang sesuai,” katanya.

Selain mengendalikan pesakit, Kamsiah turut berkongsi pengetahuan dengan doktor gigi lain menerusi latihan secara individu atau kumpulan kecil, dengan pembukaan klinik baharu menjadi langkah menggabungkan pengalaman puluhan tahun bersama pendekatan lebih moden yang dibawa generasi seterusnya.

“Pada usia 63 tahun, saya bukan bermula dari kosong. Saya memulakan langkah ini dengan hampir 40 tahun pengalaman di belakang saya dan itu memberikan perbezaan yang sangat besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini