Kumpulan kleptokrat perosak MoU kerajaan-PH - Utusan Malaysia

Kumpulan kleptokrat perosak MoU kerajaan-PH

MUJAHID YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perosak utama memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) berpunca daripada kumpulan kleptokrat yang melihat perjanjian tersebut sebagai jalan menyelamatkan tengkuk mereka daripada pendakwaan kes dihadapi mereka, kata  Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) tersebut berkata, selain itu kesefahaman berkenaan boleh terjejas dengan tindakan kumpulan yang berlengah-lengah supaya mereka dapat meneruskan amalan kleptokrasi.

 Katanya, anasir seterusnya adalah menjadikan MoU sebagai taktikal untuk memperkukuh politik lama berteraskan perkauman sempit dan demokrasi terpilih serta mempertaruh kuasa menerusi tawaran kesetiaan politik sama ada melalui sogokan wang atau kedudukan. 

“Sememangnya kebimbangan ke atas anasir perosak MoU adalah wajar dan kegagalan kita mempertahan prinsip teras dalam MoU adalah kegagalan kita membuka jalan kepada politik konsensus yang sangat diperlukan dalam masa proses penyembuhan negara. 

“Kita ada pilihan untuk membatalkan MoU tetapi keberantakan politik akan berterusan ataupun mempertahan prinsip MoU bersama dan mengisytiharkan perang ke atas anasir perosak rentas semua parti. 

“Komitmen PH dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap perjanjian ini akan memulakan perjalanan panjang politik konsensus untuk kestabilan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menegaskan, MoU antara kerajaan dan PH  digesa dikaji semula sekiranya integriti diketepikan dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, kedua-belah belah pihak termasuk kerajaan perlu insaf kepada kerangka persefahaman politik yang dimeterai kerana langkah itu sangat penting dan relevan bagi membuka jalan ke arah politik konsensus nasional. 

“MoU antara PH dan kerajaan adalah cetusan daripada usaha penyelesaian krisis politik dilatari musibah pandemik yang melanda negara. Jalan mati penyelesaian politik selama 17 bulan setelah Langkah Sheraton telah menemukan semua pihak kepada meja rundingan untuk mencapai kestabilan politik.

“Kestabilan politik diperlukan bagi pihak Eksekutif tertumpu kepada membawa negara kepada fasa pemulihan secara konsensus. 

“Perincian persefahaman menandai tiga objektif besar dipersetujui kedua belah pihak iaitu dana esar Covid-19, reformasi Parlimen dan kestabilan politik. Ketiga-tiga objektif ini memerlukan kejujuran dan keazaman politik yang tinggi kerana ia adalah teras kepada jaminan yang dirosakkan oleh para pencatur Langkah Sheraton,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya