Kluster PRN, dua madrasah di Pulau Gadong - Utusan Malaysia

Kluster PRN, dua madrasah di Pulau Gadong

MUHAMAD AKMAL Saleh dala,sidang akhbar di Kompleks Japerun Merlimau, Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seramai 41 pelajar dan guru di dua madrasah di sini disahkan positif Covid-19 membabitkan Kluster Pulau Gadong yang tercetus akibat pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah tersebut dikesan melalui hasil saringan menyeluruh yang dilakukan ke atas 185 pelajar dan kakitangan madrasah berkenaan.

Katanya, hasil siasatan, indeks kes adalah seorang tenaga pengajar di dua madrasah berkenaan yang terlibat sebagai jentera parti politik pada PRN lalu.

“Indeks kes menunjukkan simptom pada 21 November, namun telah mengajar di dua madrasah berkenaan selama dua hari hingga 23 November sebelum notifikasi positif Covid-19 diterima 25 November. 

“Susulan itu, saringan menyeluruh telah dilakukan dan seramai 41 pelajar serta guru dikesan positif Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Merlimau di sini, hari ini. 

Ujarnya, daripada jumlah itu seramai 33 orang merupakan pelajar berusia 19 tahun dan ke bawah, manakala baki adalah guru serta kakitangan madrasah.  

Tambahnya, pihaknya juga masih menunggu keputusan saringan Covid-19 seramai 142 yang lain. 

“Dua madrasah terbabit juga ditutup sehingga 17 dan 18 Disember ini di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain kluster tersebut, dua lagi kluster baharu direkodkan adalah Kluster Industri Batu 16/5 Air Tawar di sini dan Kluster Kilometer 12 Paya Rumput di daerah Melaka Tengah. 

“Seramai 64 kes positif direkodkan membabitkan Kluster Batu 16/5 Air Tawar, manakala 39 kes di Kluster Kilometer 12 Paya Rumput.

“Kedua-dua kluster ini direkodkan pada 20 November lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya