Kes Najib: Mahkamah tolak permohonan kemuka bukti baharu - Utusan Malaysia

Kes Najib: Mahkamah tolak permohonan kemuka bukti baharu

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu untuk dipertimbang dalam rayuan kes beliau membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Dengan penghakiman tersebut, keputusan rayuan Najib berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tujuh kesalahan penyelewengan dana sebanyak RM42 juta yang dijadualkan esok akan diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Najib untuk menghadiri prosiding esok secara aplikasi Zoom.

Ini kerana, Muhammad Shafee, peguam-peguam yang terlibat dengan prosiding tersebut dan Ahli Parlimen Pekan itu sendiri sedang menjalani kuarantin kerana merupakan kontak kasual salah seorang peguam yang positif Covid-19.

Terdahulu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak permohonan Najib selepas mendapati tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

“Selepas mendengar hujah panjang lebar dan meneliti afidavit yang telah difailkan, kami dapati perayu (Najib) gagal menunjukkan bukti baharu itu adalah perlu dan tiada keperluan istimewa melampau (extremely exceptional circumstances) untuk menerima keterangan tersebut.

“Dengan itu, permohonan perayu adalah ditolak,”kata Hakim Abdul Karim.

Pada 2 Disember lalu, Najib melalui peguamnya memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu yang didakwa boleh mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.

Bukti baharu itu, dakwa Najib, antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan mempunyai bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Notis usul dan afidavit sokongan untuk memasukan bukti atau keterangan baharu itu difailkan di Mahkamah Rayuan melalui firma guaman, Tetuan Shafee & Co. pagi tadi.

Najib dalan afidavit sokongannya menyatakan, beliau memfailkan notis usul itu tanpa lengah selepas mendapati keterangan-keterangan berkaitan penglibatan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Ujarnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan bahawa Singapura telah memulangkan AS$15.4 juta yang berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd.yang antaranya dipunyai suami Zeti, Tawfiq Ayman.

Selain itu, Najib turut mendakwa, keluarga Zeti telah menerima RM65 juta daripada Jho Low hasil penyelewengan dana 1MDB.

Najib turut memohon mahkamah mendapatkan keterangan lisan viva (viva voce) daripada bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut berkaitan dengan dakwaan penglibatan Zeti dan keluarganya.

Rosli merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International itu manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan mahupun pembelaan.

Selain itu, Najib dalam afidavit sokongannya menyatakan, keterangan baharu itu perlu dimasukkan secara lisan dan oleh itu, prosiding pendengaran rayuan yang telah tamat pada 15 Mei lalu perlu `dimulakan semula’ bagi membolehkan keterangan-keterangan baharu itu dimasukkan dalam rekod rayuan untuk pertimbangan panel hakim sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, keterangan-keterangan baharu itu sekiranya tidak ‘disorok’ oleh BNM, SPRM dan juga pendakwaan, ia boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya dan mampu menimbulkan keraguan munasabah dalam kes SRC International. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya