Kerajaan tambah baik perkhidmatan MASwings di Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

Kerajaan tambah baik perkhidmatan MASwings di Sabah, Sarawak

ISMAIL SABRI berucap semasa Majlis Perasmian Lapangan Terbang Baharu Mukah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKAH: Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan melaksanakan rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar atau Rural Air Service (RAS), sebagai penambahbaikan oleh anak syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB), MASwings. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan antara lain akan melaksanakan rasionalisasi berkenaan termasuk mengkaji semula implikasi kewangan yang terlibat, laluan dan kekerapan penerbangan RAS. 

Selain itu, katanya, kadar tambang yang dikenakan selain pesawat diguna pakai dan mekanisme pemberian subsidi kepada penggunaan perkhidmatan penerbangan itu dari semasa ke semasa juga akan dikaji. 

“Ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar pada tahap yang terbaik. 

“Saya berbangga projek lapangan terbang ini dapat disiapkan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. Ini bukan sahaja satu pencapaian hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi pencapaian Malaysia dalam sektor pengangkutan,” katanya selepas merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah, di sini hari ini. 

Hadir sama dalam program itu ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Timbalannya, Datuk Henry Sum Agong. 

Perkhidmatan RAS disediakan kerajaan di Sarawak dan Sabah pada 2008 melalui Perjanjian RAS yang ditandatangani pada 3 Julai 2008. Bermula tahun 2019, satu perjanjian baharu iaitu Public Service Obligation for Rural Air Services Agreement (PSO for RAS) telah ditandatangani pada 4 Januari 2019 antara kerajaan Malaysia dengan syarikat penerbangan MASwings bagi meneruskan penyediaan perkhidmatan RAS  sehingga tahun 2024.

Mengulas berkenaan lapangan terbang baharu Mukah, beliau berkata, pembinaannya diyakini akan merancakkan peluang ekonomi yang memberi impak berganda kepada penduduk di sini serta Keluarga Malaysia. 

Selain kemudahan yang selesa dan moden, kata Ismail Sabri, kerajaan perlu memastikan kesiagaan dan kemampuan Sistem Pengurusan Trafik Udara meliputi sistem radar pemantauan udara, sistem navigasi penerbangan, sistem komunikasi radio dan sistem automasi pengawal trafik udara sentiasa dinaiktaraf dan mampu menampung keperluan peningkatan pergerakan pesawat di ruang udara. 

“Saya dimaklumkan bahawa lapangan terbang baharu ini dilengkapi dengan kemudahan bangunan terminal baharu, landasan sepanjang 1,500 meter yang boleh digunakan oleh pesawat jenis ATR berkemampuan membawa penumpang lebih ramai berbanding hanya pesawat Twin Otter sebelum ini,” katanya. 

Sementara itu, Ka Siong dalam ucapannya berkata, Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan kajian National Airports Strategic Plan (NASP) yang akan bermula pada penghujung tahun 2021 dan dijangka akan dimuktamadkan pada pertengahan tahun 2023 bagi memastikan keperluan pembangunan jangka panjang lapangan terbang dan padang terbang (Short Take Off and Landing – STOLport) di Malaysia. 

“Kajian ini akan membantu kementerian untuk menentukan hala tuju pembangunan lapangan terbang dan padang terbang dari segi pembangunan infrastruktur fizikal, keperluan ruang udara, kajian ekonomi dan strategik agar cadangan pembangunan sesebuah lapangan terbang kelak akan dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan sebenar.

“Walau bagaimanapun, cadangan pembangunan lapangan terbang atau padang terbang bagi tujuan penyediaan perkhidmatan udara luar bandar akan diteruskan,  tertakluk kepada kedudukan kewangan negara dan keperluan mendesak penduduk-penduduk di kawasan pedalaman,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN