KUANTAN: Kerajaan negeri akan terus memperketatkan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah haram bagi memastikan aktiviti itu dapat diminimumkan sehingga berjaya mencapai ‘zero’ peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan penubuhan skuad penguatkuasaan elit, ia dijangka mampu bertindak membantu kerajaan dalam mencapai sasaran tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memandang serius berkaitan pencerobohan tanah haram kerana ia akan merugikan pihak kerajaan.
“Kerajaan negeri menerusi skuad elit sentiasa bertindak secara berterusan menjalankan penguatkuasaan terhadap pembukaan tanah-tanah haram.
“Mereka sentiasa bergerak, memantau dan memerhati situasi semasa tanah-tanah yang sudah dikenal pasti di negeri ini dan sekiranya masih berlaku tindakan segera akan diambil.
“Kita yakin dengan cara ini dapat memastikan pencerobohan haram dapat diminimumkan. Kalau boleh tiada langsung dan itu hasrat kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas Foodlawn.Kome @ Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Kerajaan Pahang memperuntukkan RM10 juta bagi mewujudkan lima Foodlawn.kome di seluruh negeri yang merupakan pusat perniagaan berpusat dan memberi peluang kepada anak muda untuk menjadi usahawan.
Projek perintis Foodlawn.kome yang pertama dibina di Tanjung Lumpur di sini dengan kos RM2.8 juta.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, penerokaan dan pencerobohan tanah haram di Pahang masih berlaku.
Katanya, ia terkawal dan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan masih perlu dilakukan untuk mengelak perkara itu terus berlaku.
“Saya dimaklumkan masih ada pencerobohan tanah haram namun keadaan tersebut tidak terlalu berleluasa namun begitu jika perkara ini (pencerobohan) tidak dikawal ia mungkin kembali berlaku seperti dulu.
“Kalau nak kata tidak ada langsung (pencerobohan tanah haram), masih ada tapi terkawal jadi kena tingkatkan lagi penguatkuasaan,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang proses pemulihan Tasik Chini, beliau berkata, semuanya berjalan mengikut jadual dan sebanyak 75 peratus proses pemulihan sudah selesai.
“Saya sudah melawat (Tasik Chini) hujung bulan lalu dan kerja pemulihan dan penanaman semula pokok berjalan mengikut jadual. Setakat ini, semua aktiviti perlombongan di sekitar tasik itu sudah diarahkan untuk dihentikan.
“Bulan Januari atau Februari tahun depan, saya akan melawat ke sana lagi untuk melihat perkembangan proses pemulihan dilakukan,” katanya.










