Kerajaan negeri bertindak segera isu sungai tercemar

Kerajaan negeri bertindak segera isu sungai tercemar

HASNI Mohamad (dua dari kanan) melancarkan Aplikasi Mudah Alih dan Portal Johorpay di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu sungai yang dicemari sampah sarap di lembangan sungai-sungai negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, permasalahan tersebut menjadi keutamaan pihaknya yang telah mengambil inisiatif menerusi beberapa pelan tindakan khusus menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, semua agensi terlibat diminta untuk mempercepat pelaksanaan inisiatif-inisiatif dalam Rancangan Khas Kawasan (RKK) Sungai Skudai bagi mengatasi masalah yang berlaku dan melengkapkan pelan pemantauan sungai terbabit.

“Kita ada RKK Sungai antaranya Sungai Skudai melibatkan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Badan Kawal Selia Air (Bakaj) dan untuk isu ini Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Waktu ini kita menunggu Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sahaja untuk melengkapkan pelan pemantauan Sungai Skudai ini. Maka apa yang sudah ditegur oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang perlu dibuat ialah menyegerakan pelan pelaksanaan itu,” katanya selepas melancarkan Aplikasi JohorPay di sini, petang tadi.

Selasa lalu, Sultan Ibrahim menzahirkan kekesalan baginda terhadap pemandangan Sungai Danga di sini yang dicemari pelbagai sampah sarap dan mengotori sepanjang lembangan sungai itu.

Baginda turut menitahkan kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyanathan untuk memberi perhatian dalam menangani masalah pembuangan sampah di sungai-sungai di negeri ini.

Dalam pada itu, Hasni berkata, pihaknya juga telah mengarahkan semua agensi terlibat untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif dalam RKK sungai ini bagi mengatasi isu pencemaran yang berlaku.

“Kita di peringkat negeri akan memastikan peruntukan yang disediakan itu dapat mengatasi masalah sungai yang diancam oleh pencemaran mereka-mereka yang duduk sebagai setinggan di sepanjang sungai itu.

“Buat masa ini, kita ada sistem pemantauan bagi mengikuti perkembangan pengurusan sungai ini serta bot yang digunakan untuk membersihkan sungai, tetapi itu semua adalah sebagai projek perintis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN