Johan Abdullah, 'Mat Saleh' dari Christchurch rindu mahu berlakon - Utusan Malaysia

Johan Abdullah, ‘Mat Saleh’ dari Christchurch rindu mahu berlakon

JOHAN Abdullah dan Sarepah Meriam ketika ditemui pemberita di rumah sewa mereka di Taman Mantau Indah 1, Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelakon yang kerap memegang watak individu berbangsa Inggeris dalam filem dan drama-drama tempatan, Johan Abdullah, 73, kini menderita penyakit angin ahmar dan parkinson sejak April tahun lalu.

Akibat penyakit yang dihidapinya itu, pergerakan Johan yang berasal dari Christchurch, New Zealand juga kini terbatas dan terpaksa banyak bergantung kepada bantuan isteri, Sarepah Meriam Aboo, 48.

Sedikit menyukarkan, Sarepah Meriam yang hanya seorang suri rumah, menderita pula penyakit cakera teranjak (slipped disc) dan tiroid yang mengganggu aktiviti harian mereka sekeluarga.

Johan berkata, dia sudah lama tidak menerima tawaran untuk berlakon dengan lakonan terakhirnya adalah menerusi filem 29 Februari yang ditayangkan pada 2012.

“Jika ditanya sama ada saya rindu dengan bidang lakonan, sudah tentu kerana ia sudah biasa dan menjadi ‘darah daging’ sejak bermula pada pertengahan 1970-an.

“Sekiranya ada tawaran lakonan, saya tentu tidak menolak namun bergantung kepada keadaan saya ketika ini. Jika ada tentu sedikit sebanyak membantu perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah yang disewanya di Taman Mantau Indah 1, di sini hari ini.

Menurut Johan, walaupun sudah lama tidak tampil di layar perak mahu televisyen, ramai kenalan artis terutamanya pelakon-pelakon veteran masih menghubunginya dan bertanyakan khabar.

“Ada rakan-rakan artis dan kenalan lama seperti dari Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia yang datang menjenguk dan menghulurkan bantuan, saya sangat menghargainya,” katanya.

Sementara itu, Sarepah Meriam berkata, mereka berdua kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada hasil sewaan sebuah rumah di Salak Tinggi, Selangor dan bantuan jiran tetangga serta anak-anak hasil perkahwinan masing-masing yang terdahulu.

“Menerusi bantuan tersebutlah kami gunakan untuk perbelanjaan seharian termasuklah untuk membesarkan dua orang cahaya mata iaitu Abdullah Musa Johan, 10, dan Orchid Raihani Johan, 5.

“Ia juga digunakan untuk untuk urusan perbelanjaan penyakit yang dihidapi suami dan saya sendiri termasuk untuk kos berulang alik ke hospital dan klinik kesihatan setiap kali janji temu rawatan dan pemeriksaan,” katanya.

Prihatin dengan nasib yang menimpa mereka, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) juga turut tampil membantu apabila mengunjungi Johan dan Sarepah Meriam.

MAINS menerusi kenyataan memberitahu, telah mendapatkan maklumat dan keperluan terkini yang diperlukan mereka sekeluarga dan melalui amanah zakat, MAINS akan membantu Johan menerusi bantuan kewangan secara bulanan, bantuan perubatan dan bantuan wang tunai segera yang juga telah telah diserahkan semalam.

Orang ramai atau mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Sarepah Meriam menerusi nombor telefon 013-3126721 atau melalui sumbangan ke akaun bank CIMB bernombor 7014641193 atas nama Sarepah Meriam Aboo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.