PUTRAJAYA: Penguatkuasaan secara mandatori bagi menghalang individu yang belum divaksin berada di lokasi awam adalah wajar untuk kerajaan melaksanakan demi kemaslahatan umum.
Pada masa ini, masih terdapat kira-kira sejuta penduduk dewasa belum divaksin dan ‘kebebasan’ mereka berada di tempat awam mencetuskan kebimbangan apatah lagi jika tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga memberi kesan buruk kepada mereka yang divaksin.
Mengulas mengenai situasi itu kepada Utusan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, dari sudut hukum agama Islam sudah jelas pengambilan vaksin adalah harus dan perlu diambil oleh semua.
Jelasnya, walaupun tidak sampai ke tahap diwajibkan, tetapi mengambil kira menjaga kemaslahatan umum iaitu demi kepentingan awam, maka ia lebih penting daripada diri sendiri.
“Untuk menyatakan hukum mandatori (mengenakan sekatan pergerakan kepada golongan belum vaksin), itu dibolehkan dari segi pentadbiran, kerana bukan melibatkan soal hukum,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, masyarakat sepatutnya memahami soal menjaga kesihatan adalah tanggungjawab sendiri dan kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab menyediakan prasarana kesihatan.
Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, kuasa bertindak sesuatu kepada apa sahaja hukum dikeluarkan mufti bergantung kepada pihak berkuasa.
Katanya, nasihat fatwa bagi pengambilan vaksin adalah harus, namun mengambil kira kepada situasi hari ini dengan kemunculan varian baharu, adalah selamat untuk mendapatkan vaksin.
Menyokong pendapat sama, Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Mohd. Radhi Abdul Ghani berkata, negara masih belum bebas sepenuhnya ancaman Covid-19 tambahan pula dengan penemuan varian baharu Omicron.
Realitinya kata beliau, situasi masih di ambang bahaya.










