KUCHING: Tiga remaja yang memohon semakan kehakiman mengenai kebenaran Undi18 dilaksanakan bagi membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak akan mengemukakan rayuan ke mahkamah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam, Clement Wong berkata, walaupun anak guamnya mahu memfailkan rayuan saat akhir, kebenaran mengundi di usia 18 tahun tidak dapat dilaksanakan secepatnya memandangkan hari mengundi akan bermula Sabtu ini.
“Kes tidak akan diteruskan lagi dan anak guam saya perlu menunggu pilihan raya seterusnya. Mahkamah hari ini menolak semakan kehakiman kerana kami gagal membuktikan kes atau tiada kes boleh dipertikaikan kerana had umur mengundi secara automatik masih belum ada.
“Kalau pun had umur mengundi bukan automatik, ia masih tertakluk kepada proses undang-undang yang mengambil masa dan sebab itu, pengundi berumur 18 tahun pada 15 Disember masih tidak sempat untuk mengundi kerana proses memasukkan nama dalam senarai pemilih juga mengambil masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan semakan kehakiman tiga remaja, Avril Clarice Chin Ning, 18; Ivan Alexander Ong dan Addam Johanson Jeremy Shayne masing-masing berumur 19 tahun, terhadap Pendaftar Pilihan Raya Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya dapat mengundi pada pilihan raya negeri, Sabtu ini.
Semakan kehakiman itu, bertujuan untuk membatalkan Notis Pilihan Raya dan Notis Daftar Pemilih atau mana-mana bahagian daripadanya dan mendapatkan arahan atau perintah bersifat (mandamus) yang memaksa responden (Pendaftar Pilihan Raya Sarawak dan SPR) mengambil langkah segera untuk memastikan tiga anak muda tersebut (pemohon) dan warganegara lain seumpamanya berhak mengundi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai berkata, walaupun tarikh mengundi ditunda kepada 2 Januari 2022, dan dengan andaian Daftar Pemilih sentiasa dikemas kini sehingga hari pengundian, mereka berumur 18 hingga 20 tahun masih tidak akan didaftarkan tepat pada masanya kerana 2 Januari 2022 adalah hari bekerja pertama dalam bulan itu.
Katanya, pendaftaran pengundi automatik yang berkuat kuasa bersama-sama dengan Undi18 pada 15 Disember ini, tidak bermakna pendaftaran pengundi dilaksanakan serta-merta apabila mencapai umur 18 tahun selain terdapat proses-proses perlu diikuti sebelum individu layak didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih.
Ketiga-tiga anak guam Clement memfailkan semakan kehakiman itu pada 7 Disember di Mahkamah Tinggi di sini kerana nama mereka belum disenarai dan diwartakan dalam senarai pemilih pilihan raya sedangkan mereka berhak dan dijamin dalam undang-undang.
Mereka turut diwakili peguam-peguam termasuk George Lo, Simon Siah, Janise Then, Jonathan Tay dan Christopher Chin manakala Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Mohd. Arshad dan Ahmad Hanir serta peguam Jessica Lee, dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak mewakili Pihak Pendaftar Pilihan Raya Sarawak dan SPR.