Hukuman Najib setaraf 'kesakitan' ditanggung negara - Utusan Malaysia

Hukuman Najib setaraf ‘kesakitan’ ditanggung negara

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hukuman yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah setaraf dengan kesakitan dan penderitaan yang telah dilakukannya terhadap negara.

Ini kerana bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja telah melanggar kepercayaan yang diberikan kepadanya tetapi turut mengkhianatinya.

“Kami mendapati Hakim Bicara dalam menjatuhkan hukuman yang bagi setiap tujuh pertuduhan telah mengimbangi antara kepentingan perayu (Najib) dengan kesakitan dan penderitaan yang telah dilakukannya terhadap negara.

“Beliau bukan sekadar melanggar kepercayaan yang diberikan kepadanya tetapi turut mengkhianatinya,” kata panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam penghakiman penuh rayuan Najib berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas kesalahan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta.

Penghakiman penuh setebal 317 mukasurat yang diperoleh media hari ini.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman selepas mendapati keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah selamat untuk dikekalkan.

Menurut penghakiman penuh tersebut, dalam usaha menegakkan undang-undang negara, mahkamah perlu memastikan bahawa wabak moden (jenayah kolar putih) ini dihapuskan sama sekali demi kebaikan negara.

Selain itu, kata-kara keramat bekas Ketua Hakim Negara, Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kes membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris turut menjadi ‘pegangan’ dalam menjatuhkan hukuman terutamanya bagi mereka yang mempunyai kedudukan dan pangkat.

Antara petikan ‘keramat’ itu ialah: “Saya ulangi apa yang saya katakan sebelum ini, undang-undang tidak pilih kasih, bagaimanapun, adalah mustahil untuk mengabaikan fakta bahawa anda berada dalam kategori yang berbeza daripada mana-mana individu yang pernah saya bicarakan.

“Adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa di mata berjuta rakyat negara ini, anda adalah seorang patriot dan pemimpin. Malah mereka yang berbeza dengan pandangan politik akan memandang anda sebagai seorang yang penuh ketokohan.

“Anda mempunyai setiap peluang untuk mencapai tahap pencapaian tertinggi, namun anda membenarkan ketamakan merosakkan anda. Tidak boleh diterima akal bagaimana seseorang dalam kedudukan kami tidak dapat menggunakan akal dan hati nurani untuk mengenali rasuah dalam apa juga bentuk.”

Walaupun kata-kata tersebut dibuat 45 tahun yang lalu, namun Mahkamah Rayuan dalam keputusannya menyatakan, ia masih lagi relevan dalam kes Najib dan keadaan negara sekarang.

“Keadaan ‘integriti yang mulai terhakis di kalangan pemimpin’ yang diingatkan oleh Raja Azlan Shah (pada ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi) 45 tahun lalu masih lagi menghantui negara ini. Mahkamah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang perlu melakukan apa yang diperlukan dalam memastikan wabak moden ini dihapuskan demi kebaikan negara.

“Undang-undang sememangnya tidak perlu menghormati sesiapa. Semua individu adalah setaraf di mata undang-undang dan mahkamah akan melaksanakan undang-undang tersebut tanpa pilih kasih,” kata penghakiman tersebut.

Selain itu, penghakiman penuh itu turut menyatakan bahawa dakwaan Najib bahawa wang RM42 juta adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi adalah lebih dongeng daripada Hikayat 1001 Malam.

Dakwaan tersebut bukan sahaja tidak kredibel malah bertentangan dan terhapus dengan bukti melalui dokumen-dokumen yang dikemukakan.

“Kami bersetuju dengan hakim bicara bahawa derma Arab itu hanyalah satu rekaan semata-mata dan tidak mempunyai sebarang kredibiliti. Tiada sebarang bukti bahawa RM42 juta itu datang dari kerabat diraja Arab mahupun sebarang asas munasabah yang membolehkan perayu berfikiran sebegitu. Dana tersebut datang dari SRC International dan itu telah dibuktikan,” katanya.

Hikayat 1001 Malam atau turut dikenali sebagai Arabian Nights merupakan himpunan pelbagai kisah-kisah dongeng seperti Aladdin, Ali Baba dan Empat Puluh Penyamun dan Tujuh Pengembaraan Sinbad: Seorang Pelayar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya