GUA MUSANG: Harga ayam di Kelantan menunjukkan penurunan ketara sehingga RM7 sekilogram, berbanding lebih RM10 sekilogram sebelum ini.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kelantan, Adnan Abd. Rahman mengesahkan perkara itu selepas pemantauan berterusan dilakukan pihaknya beberapa hari lalu.
Beliau berkata, peniaga barangan basah di Kelantan memberi kerjasama baik kepada kementerian itu apabila menyahut seruan menjual harga barangan asas seperti ayam dan sayuran dengan harga rendah.
Katanya, sebelum ini kerajaan menetapkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia pada harga RM9.30 bagi sekilogram ayam.
“Berdasarkan pemantauan, kita tengok harga ayam di Kelantan bukan sahaja dijual pada harga ditetapkan itu, malah ada yang menyahut seruan kita dengan menjual ayam pada harga RM6.99 sekilogram. Ini satu perkembangan baik dan amat dialu-alukan.
“Dengan penurunan ini, kita lihat harga barangan basah yang mahal sebelum ini hanya bersifat sementara,” katanya kepada pemberita dalam Program Jelajah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di K’Mart Kesedar, di sini semalam.
Program jelajah KBBM di Gua Musang adalah yang ketiga diadakan di Kelantan selepas Kota Bharu dan Pasir Mas.
Program itu adalah inisiatif KPDNHEP untuk memulihkan ekonomi golongan peniaga industri kecil dan sederhana yang terkesan teruk selepas penularan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu. – UTUSAN ONLINE










