PUTRAJAYA: Akta Pergigian 2018 (Akta 804) akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan bagi menjamin kualiti perkhidmatan pergigian dan keselamatan pesakit serta meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, akta berkenaan kecuali tiga peruntukan yang akan dikuat kuasa pada 1 Januari 2025 akan menggantikan Akta Pergigian 1971 (Akta 51) yang telah mengawal selia amalan dalam bidang pergigian selama 50 tahun.
Katanya, akta itu memperuntukkan penubuhan Majlis Pergigian Malaysia dan Lembaga Juruterapi Pergigian Malaysia, pendaftaran doktor pergigian dan juruterapi pergigian, pengawalseliaan amalan pergigian dan perkara-perkara berkaitan.
“Ia juga mengandungi sembilan Bahagian dan 104 seksyen ini mensyaratkan hanya pengamal yang berkelayakan, berwibawa dan profesional akan didaftarkan, dan layak untuk memberi perkhidmatan pergigian.
“Peruntukan baharu dalam akta itu melibatkan Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi tujuan pendaftaran sebagai doktor pergigian, pendaftaran pakar pergigian dan juruterapi pergigian, keperluan pengumpulan mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan Perlindungan Tanggung Rugi Profesional bagi permohonan perakuan pengamalan dan penguatkuasaan dalam amalan pergigian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy berkata, semua pengamal akan diwajibkan mengumpul markah Pembangunan Profesional Berterusan dan memperoleh Perlindungan Tanggung Rugi Professional, sebelum memperbaharui perakuan pengamalan apabila akta itu dikuat kuasa tahun depan.
Katanya, akta itu juga membolehkan penguatkuasaan diambil bagi amalan pergigian yang tidak mematuhi peruntukan akta tersebut terutamanya pengamalan pergigian haram.
“Selain itu, semua graduan pergigian yang ingin berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia hendaklah lulus Peperiksaan Kelayakan Profesional. Bagi mereka yang mempunyai kelulusan yang tersenarai di dalam Jadual Kedua Akta Pergigian 1971, mereka dibenarkan untuk mendaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia tanpa perlu menduduki Peperiksaan Kelayakan Profesional.
“Kebenaran ini hanya terpakai bagi tempoh lima tahun dari tarikh akta ini dikuat kuasa iaitu dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026. Malah di bawah akta ini, doktor pergigian yang telah berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia boleh memilih untuk menjalankan khidmat wajib di perkhidmatan awam ataupun swasta,” katanya.
Beliau berkata, doktor pergigian yang mempunyai kelayakan pakar lepas ijazah yang diluluskan majlis boleh memohon untuk didaftarkan sebagai pakar pergigian di dalam mana-mana 12 kepakaran pergigian bermula Februari 2022.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan penguatkuasaan Akta ini, sila hubungi Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia di [email protected] atau Majlis Pergigian Malaysia di [email protected],” katanya.










