fbpx

Hancur separuh badan digilis kereta api

LOKASI mangsa maut diseret kereta api berhampiran Kampung Tiong, Gua Musang, Kelantan hari ini.

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki maut selepas separuh badannya hancur akibat digilis kereta api dan diseret sejauh kira-kira 30 meter di atas jambatan berhampiran Kampung Tiong, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, Mohamad Azwan Syhmin Md. Yusoff, 18, dipercayai tidur bersama seorang lagi rakan di atas jambatan sebelum digilis kereta api yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Tumpat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, rakan mangsa yang tidur bersamanya bagaimanapun terjaga ketika kereta api menghampiri dan sempat menyelamatkan diri.

“Pemandu kereta api terbabit dikatakan sudah membunyikan hon, namun mangsa tidak bangun. Hasil pemeriksaan mendapati separuh badan mangsa telah hancur kerana dilanggar kereta api.

“Jarak tempat mangsa tidur dengan mayatnya dijumpai lebih kurang 30 meter. Susulan kejadian itu, pemandu telah maklumkan kejadian kepada Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Choon Foo berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran landasan kereta api agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadikan kawasan itu sebagai tempat melepak atau tidur pada waktu malam.

Dalam masa sama katanya, ibu bapa juga harus memantau keselamatan anak atau ahli keluarga masing-masing.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!