PUTRAJAYA: Inisiatif pemasangan panel solar di kawasan kediaman menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 185 megawatt (MW) kuota diluluskan di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat, sejak diperkenalkan pada 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Datuk Hamzah Husin berkata, ketika ini dianggarkan kira-kira 196 MW kapasiti permohonan diterima pihaknya untuk proses kelulusan.
“Kerajaan baru buka semula kuota tambahan pada awal Februari lalu, kemudian Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) umumkan program SolaRIS (Solar for Rakyat Incentive Scheme) yang beri rebat sehingga maksimum RM4,000, maka ‘take up rate’ sangat laju.
“Jika hendak dibandingkan ketika dilancarkan pada tahun 2021, untuk 100MW kuota dalam masa dua tahun pun masih 30MW, sangat perlahan (tetapi) sekarang buka sahaja sudah banyak permohonan sehingga ada ‘back log’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 SEDA di sini hari ini.
Media pada 27 Mac lalu melaporkan, kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkenalkan program SolaRIS bagi menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) oleh pengguna domestik.
Fadillah berkata, pelancaran SolaRIS dijangka meningkatkan penerapan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah program NEM yang antara lain akan memberikan rebat RM1,000/kwAC sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu.
Katanya, rebat itu diberikan kepada pengguna baharu program NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada SEDA Malaysia pada dan selepas 1 April 2024.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, antara kelebihan sistem teknologi tenaga solar termasuklah memperoleh tenaga bersih untuk menyelamatkan alam sekitar selain dalam jangka masa panjang, pengguna dapat menjimatkan bil elektrik mereka.
“Menerusi siri NEM 3.0, pada peringkat permulaan kerajaan menawarkan 500MW kuota sahaja pada 2021, sekarang ini sudah empat kali tambahan kuota dengan jumlah keseluruhan yang diluluskan dan ditambah oleh kerajaan adalah 1,550MW, itu menunjukkan betapa larisnya program pemasangan solar bumbung ini,” ujarnya.
Program NEM 3.0 telah diumumkan pada 29 November 2020 dengan 500MW kuota dibuka kepada tiga kategori: NEM Rakyat 100MW, NEM GoMEn (Kerajaan) 100MW dan NOVA 300MW – UTUSAN











