Guna teknologi dron hantar bantuan, pantau situasi banjir - Utusan Malaysia

Guna teknologi dron hantar bantuan, pantau situasi banjir

PENGESANAN mangsa banjir terkandas menggunakan visual dron di Taman Sri Muda, Kampung Lombong, Seksyen 23 Shah Alam, Selangor. - FOTO AERODYNE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron) ditubuhkan bagi membantu usaha kritikal banjir di kawasan terjejas dengan kerjasama beberapa syarikat teknologi dron.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Melalui PTK2Dron itu, sejumlah 20 dron bersedia untuk diaktifkan bagi tujuan tinjauan dan penghantaran bekalan penting dengan kemampuan muatan sehingga 10 kilogram untuk setiap penghantaran.

Menurut beliau, usaha penggunaan dron bersama Teknologi Park Malaysia (TPM) itu akan  memudah cara akses kepada visual dari udara untuk membantu agensi berkaitan  menilai keadaan semasa dengan lebih tepat di kawasan terjejas banjir.

“Ini membolehkan  pihak terbabit menyampaikan perkhidmatan kecemasan kepada mangsa banjir yang  terkandas dan tiada akses kepada rangkaian komunikasi.

“Dron berteknologi tinggi ini juga dapat melakukan penghantaran bekalan asas khususnya ubat dan makanan, terutamanya di kawasan yang sukar dicapai,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penyelesaian Rawatan Air Teknologi Hijau DeScale di sini hari ini.

Adham berkata, TPM bekerjasama dengan syarikat dron VStream, Alphaswift Industries,  Aerodyne Group, Meraque Services dan Geo Precision Tech dengan sokongan Persatuan  Aktivis Dron Tanpa Pemandu Malaysia (MUDAS) untuk menyediakan perkhidmatan ini.

Bagaimanapun, ujar beliau, pihaknya kini sedang menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum dapat menggerakkan dron diberikan lima syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, cerapan imej satelit yang diperoleh semalam menunjukkan pengurangan kira-kira 60 peratus genangan air di Selangor berbanding pada Sabtu lalu.

“Di Taman Sri Muda dan Seksyen 24 Shah Alam contohnya menunjukkan banjir telah surut dengan kawasan litupan banjir berkurangan daripada kira-kira 5.1 kilometer persegi kepada kira-kira 2.1 kilometer persegi setakat pukul 6 petang semalam.

“Namun cerapan imej satelit di Pahang menunjukkan peningkatan kawasan digenangi air dan susulan itu pemantauan akan diteruskan serta maklumat lanjut keliasan akan dibekalkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif,  Aerodyne Group, Kamarul A. Mohamed berkatam pihaknya diminta Kerajaan Negeri  Selangor untuk memberi bantuan banjir di negeri itu menggunakan dron.

Kata beliau, dron taktikal dikerahkan bagi mendapatkan maklumat penting seperti arah  aliran air, mengesan mangsa yang masih terperangkap serta kaedah terbaik bagi  pelaksanaan operasi menyelamat di beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir.

“Operasi ini termasuk mengenal pasti punca air banjir lambat surut di beberapa kawasan yang disebabkan oleh saliran yang terhalang.

“Buat masa ini, beberapa lokasi Selangor dengan kawasan seluas lebih 500 hektar dipantau melalui pengaktifan penggunaan dron dengan kemampuan tinjauan dan  pengangkutan bekalan kecemasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya