DUNGUN: Lebih 30 peniaga di Pasar Besar Paka di sini resah dengan gangguan kera liar yang didakwa sering memasuki premis perniagaan mereka untuk mencari makanan.
Gangguan yang berlarutan sejak hampir enam bulan lalu menyebabkan rata-ratanya terpaksa menanggung kerugian besar akibat kerosakan barang jualan.
Peniaga sayur, Anuar Muhammad, 40, berkata, sekumpulan 20 kera liar itu sering menceroboh masuk ke pasar pada waktu petang, selepas tamat waktu perniagaan.
“Kera biasanya datang mencari makan ketika tiada orang dan lokasi tumpuan haiwan liar itu di kawasan buah-buahan, sayuran di samping tempat pembuangan sampah.
“Kadangkala memang rasa sakit hati apabila tengok keadaan kedai bersepah, malah ada barangan yang tidak boleh dijual sebab dimakan kera,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Seorang lagi peniaga, Mohamad Zakaria Yasin, 45, berkata, walaupun mereka sudah menutup lubang yang menjadi laluan kera ke pasar namun, gangguan tetap berterusan.
“Kalau pada masa itu ada peniaga yang belum balik, mereka akan menghalau kumpulan kera berkenaan tetapi sukar kerana jumlah yang banyak jadi saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Loo Kean Seong berkata, sumber makanan yang mudah seperti tempat pembuangan sampah menjadi salah satu punca kera liar datang ke pasar berkenaan.
“Kita minta peniaga bekerjasama dalam memastikan kawasan pasar sentiasa bersih, terutama di tempat pembuangan sampah. Kita sudah memasang perangkap bagi menangkap kera liar berkenaan dan sekiranya keadaan berlarutan, tindakan lain juga akan dilakukan,” katanya.-UTUSAN ONLINE