Gaji rendah, sama seperti 'buruh Bangla' - Utusan Malaysia

Gaji rendah, sama seperti ‘buruh Bangla’

Peneroka Felda menyambut baik langkah kerajaan melupuskan hutang mereka dengan agensi itu. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKUANTAN: Gaji lebih rendah atau sama seperti diterima buruh Indonesia dan Bangladesh menjadi punca generasi muda Felda tidak berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit.

Setakat ini, hanya lima peratus atau 1,500 anak tempatan daripada 30,000 keperluan tenaga kerja untuk menuai buah kelapa sawit bekerja dalam bidang itu berbanding pekerja asing.

Ramai generasi muda Felda mendakwa mereka mahu bekerja di ladang sawit tetapi terpaksa mengetepikan minat itu selepas berasa tercabar apabila gaji mereka dibayar sama atau ada yang lebih rendah berbanding buruh Indonesia dan Bangladesh.

Jadi gaji adalah faktor besar pemilik ladang sawit berdepan masalah mencari pekerja. Mereka yang bekerja di ladang sawit juga hanya menerima gaji bergantung kepada kadar tuaian buah sawit dan ada pula berbeza mengikut majikan.

Jika banyak buah sawit dituai, mereka mampu memperoleh pendapatan sehingga RM4,000, tetapi ketika sawit ‘melawas’ atau tiada, ia begitu membebankan pekerja tempatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, ketika buah sawit ‘melawas’, ia tidak memberikan masalah kepada pekerja asing yang mampu bertahan kerana kebajikan mereka banyak ditanggung majikan

Bagaimanapun, menurut beliau, bagi pekerja tempatan yang tinggal dengan ibu bapa, atau menyewa rumah, mereka memerlukan perbelanjaan bagi menyara kehidupan.

“Jika yang berumah tangga sangat bermasalah terutama apabila anak atau isteri sakit, mereka memerlukan duit untuk menampung kos rawatan kesihatan.

“Pekerja asing tiada masalah, sampai sahaja ke negara ini, mereka disediakan asrama, pengangkutan, kemudahan rawatan dan pendahuluan pendapatan tetapi pekerja tempatan tidak disediakan kemudahan tersebut,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan permintaan ketua-ketua peneroka di tanah rancangan Felda di negeri ini mendesak kerajaan segera membawa masuk buruh asing ke sektor perladangan bagi mengatasi kekurangan penuai buah sawit di tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Ia merupakan keperluan mendesak di 317 tanah rancangan Felda yang ketika ini memerlukan kira-kira 17,000 tenaga buruh asing untuk menguruskan ladang termasuk milik FGV Holdings Bhd (FGV).

Secara keseluruhannya, kira-kira 30,000 tenaga buruh diperlukan bekerja sebagai penuai sawit di tanah rancangan dan ladang Felda di seluruh negara.

Kekurangan 17,000 tenaga buruh asing itu disebabkan mereka pulang ke negara asal sebelum pandemik Covid-19.

Dalam sesi perbahasan di Parlimen, kerajaan menganggarkan industri sawit negara mengalami kerugian RM14 bilion setahun ekoran kekurangan penuai buah sawit.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, isu kekurangan buruh di ladang sawit di seluruh rancangan Felda telah berlanjutan puluhan tahun tanpa penyelesaian konkrit.

Oleh itu, menurut beliau, pelan tindakan buruh tempatan diperlukan segera bagi mengelakkan kebergantungan berterusan kepada tenaga buruh asing.

“Sebagai tarikan, kerajaan perlu memuktamadkan faedah dibayar kepada buruh tempatan sama seperti kakitangan kerajaan iaitu mendapat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, socso, elaun perumahan dan kemudahan kesihatan.

“Dalam jangka panjang tenaga buruh tempatan memberikan banyak keuntungan kepada negara berbanding ratusan juta ringgit mengalir ke luar negara,” katanya.

Berhubung tahap gaji, beliau berkata, penelitian perlu dibuat Kementerian Sumber Manusia dengan mengambil kira kos sara hidup rakyat ketika ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira masa depan dan nasib pekerja tempatan yang memerlukan rumah sendiri terutama yang berkeluarga.

“Wujudkan skim latihan yang profesional, beri pentauliahan supaya mereka (pekerja tempatan) berkemahiran, mempunyai nilai dan gaji boleh dipertingkatkan.

“Dalam masa yang sama harga komoditi perlu stabil supaya penggajian sentiasa tinggi dan tiada anggaran gaji sebab berbeza mengikut majikan dan kadar tuaian buah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya