Menyamar Ketua Polis Johor, pengurus bangunan didenda RM1,000

Menyamar Ketua Polis Johor, pengurus bangunan didenda RM1,000

A. GANASEAN dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menyamar sebagai Ketua Polis Johor untuk lepaskan 11 tahanan. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus bangunan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyamar sebagai Ketua Polis Johor dengan membuat tawaran untuk melepaskan 11 tahanan sebuah agensi penguat kuasa dengan bayaran RM1,500 seorang.

A. Ganasean 51, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim. Dia diperintah dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, bapa lima anak itu didakwa memperdaya seorang individu dengan menyamar sebagai Ketua Polis Johor di Bandar Baru Sentul di sini, pada jam 8.35 malam, 6 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pengadu menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Polis Johor, Komisioner, M. Kumar dan mendakwa menawarkan pembebasan 11 tahanan dengan bayaran RM1,500 seorang.

Semasa prosiding, peguam, S. Narasimhan yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar yang minimum tanpa pemenjaraan.

Menurutnya, Ganasean perlu menanggung isteri dan lima anak termasuk dua daripadanya masih bersekolah.

“Dia malu dengan isteri dan anak-anaknya kerana melakukan kesalahan itu selain kesal, insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Kesalahan ini tidak boleh dipandang ringan kerana dia sengaja menyamar sebagai Ketua Polis Johor, demi keuntungan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN