Poliklinik ATM Kem Batu 10 manfaat 16,000 warga ATM - Utusan Malaysia

Poliklinik ATM Kem Batu 10 manfaat 16,000 warga ATM

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) ketika melakukan lawatan ke tapak pembinaan Poliklinik ATM KEM Batu 10 di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Batu 10 di sini bakal memberikan manfaat kepada kira-kira 16,000 warga ATM dan ahli keluarga di situ.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, poliklinik ATM pertama di Pahang yang membabitkan kos berjumlah RM27.12 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun depan.

“Poliklinik ini bagi memberi rawatan dan perkhidmatan kepada anggota tentera, ahli keluarga, veteran dan juga turut dibuka kepada orang awam,” katanya dalam sidang akhbar sempena Lawatan Kerja ke Markas Angkatan Bersama (Mk AB), tapak pembinaan Poliklinik ATM, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan Majlis Ramah Mesra di No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, berlaku kelewatan pembinaan poliklinik itu yang sepatutnya siap pada September tahun ini.

“Oleh kerana berlaku penemuan mata air, pihak kontraktor diberikan lanjutan masa (EOT) selama 312 hari lagi bagi mengatasi masalah itu. Jika tidak atasi masalah itu, akan memberi kesan dan bangunan yang dibina tidak dapat bertahan,” katanya.

Beliau berkata, daripada lima buah poliklinik yang dibina di seluruh negara, dua sudah siap dibina, dua dalam pembinaan dan satu lagi bakal di bina di Kelantan dengan setiap satunya menelan kos tidak lebih RM35 juta.

“Terdapat sebuah hospital sedang dalam pembinaan iaitu Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka menggantikan hospital lama yang dijangka siap pada 2028 menelan kos lebih RM300 juta.

“Pokoknya, antara perkara bagi memastikan kesejahteraan tentera adalah memastikan mereka mendapat rawatan dan perkhidmatan kesihatan terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohamed Khaled memberitahu, bagi tahun ini, sebanyak RM22.52 juta peruntukan disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan RKAT pegawai dan anggota ATM yang bertugas di Kem Batu 10, Briged Ke-4 Infantri Malaysia (4 Briged Mekanise) dan Pangkalan Udara Kuantan.

“Apa yang penting peruntukan yang besar ini dapat dilaksanakan dan disiapkan pada tahun ini juga. Pada tahun hadapan kita akan beri peruntukan lain,” katanya.

Beliau juga memberitahu, 285 unit pembinaan baharu RKAT di Sungai Panching di sini yang menelas kos RM197.7 juta dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Itu juga satu projek yang sangat penting dan berharap ianya dapat disiapkan seperti yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN