PETALING JAYA: “Dahi, kening semua masih boleh gerak.”
Itu reaksi pelakon dan pengacara, Yasmin Hani berkenaan spekulasi dia mengambil suntikan botoks untuk kelihatan awet muda pada usianya yang telah memasuki 44 tahun.
Kata pemilik nama sebenar Yasmin Hani Ismail Richardson itu, dia sehingga kini masih belum mengambil sebarang prosedur kosmetik ekstrim, termasuk suntikan berkenaan semata-mata untuk mengekalkan kecantikannya.
Katanya, keengganan itu timbul disebabkan keraguan dan ketakutannya terhadap kesan sampingan penggunaan botoks, atau sebarang kaedah kosmetik ekstrim di kemudian hari.
“Memang tak ada (botoks). Sudah bertahun saya fikirkan tentangnya, tapi tetap timbul perasaan takut. Buat masa ini saya tak berani terima, ataupun menolak prosedur seumpama itu.
“Kalau saya buat, berapa lama pula saya kena kekalkan? Katakanlah berlaku sesuatu yang tidak diinginkan dikemudian hari, jatuh miskin contohnya, bagaimana?
“Memanglah sebagai artis, kalau boleh saya nak lambatkan penuaan. Tapi buat masa ini saya memang tak berani buat,” katanya ketika ditemui pada sesi tayangan trailer filem Jangan Pandang Belakang 2, baru-baru ini.
Ujar Yasmin, dia dari dulu lebih selesa menjaga penampilan menerusi aktiviti kecergasan yang padanya, lebih selamat dan bersifat semula jadi tanpa perlu membahayakan dirinya sendiri.
“Selalulah gembirakan hati, sentiasalah bersenam dan perbaiki diri dari semasa ke semasa. Cuba sedaya upaya untuk rajin bersenam. Sekarang pun dah timbul perasaan malas bersenam.
“Tapi saya selalu ingatkan diri sendiri, kalau malas sekarang, kesannya saya tanggung kemudian.
“Mahu atau tidak, saya perlu bersenam, aktif dan amalkan gaya hidup sihat. Semua itu juga dibantu oleh rakan-rakan yang selalu memberi sokongan, sering ajak saya beraktiviti. Ini semua untuk kebaikan bila usia saya semakin meningkat nanti,” tambahnya.










