Gagal hadir, warga emas dikenakan waran tangkap - Utusan Malaysia

Gagal hadir, warga emas dikenakan waran tangkap

MOHD. Dusuki Mokhtar bercakap kepada pemberita mengenai keputusan rayuan seorang wanita warga emas dera pembantu rumah rakyat Indonesia sampai mati di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang wanita warga emas yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia, empat tahun lalu, dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas gagal hadir pada prosiding rayuannya.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan bersidang bersama-sama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal mengeluarkan waran tersebut selepas mahkamah tidak menerima sijil sakit yang dikemukakan R. Jayavartiny bagi pihak ibunya, M. A. Ambika, 63.

“Mahkamah telah ditunjukan sijil sakit responden (Ambika) yang menyebut mengenai keadaannya. Doktor yang memeriksa responden juga telah dimaklumkan mengenai prosiding mahkamah pada hari ini. Namun, sijil sakit tersebut tidak menyatakan bahawa responden tidak boleh hadir hari ini. Oleh itu, mahkamah tidak boleh menerima sijil sakit ini,” kata Hakim Vernon.

“Kes ini telah tertangguh beberapa kali disebabkan responden tidak hadir. Mengikut prosiding, bagi kes rayuan jenayah, kedua-dua pihak (perayu dan responden) perlu hadir. Maka kami tiada pilihan selain mengeluarkan waran tangkap bagi memaksa responden hadir ke mahkamah,” kata Hakim Vernon.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Januari ini untuk sebutan waran tangkap Ambika dan pelantikan peguam bagi wanita itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memohon agar waran tangkap dikeluarkan terhadap Ambika kerana wanita itu jelas dengan sengaja tidak hadir ke mahkamah.

“Pihak kami telah pergi ke rumahnya sebanyak tujuh kali untuk menyerahkan notis kehadiran kepada Ambika tetapi dia atau anaknya yang tinggal di rumah sama tidak pernah memberikan sebarang respons walaupun loceng pintu ditekan berkali-kali dan pintu hadapan rumah dalam keadaan terbuka. Cubaan terakhir ialah sekitar pukul 8 malam, semalam,” katanya.

Jayavartiny kemudian memaklumkan mahkamah bahawa ibunya mengalami kesukaran untuk berjalan serta hanya mampu berbaring dan keadaannya semakin teruk namun dia mengakui bahawa ibunya mengetahui mengenai tarikh prosiding mahkamah hari ini.

Pada 22 September 2020, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang melepas dan membebaskan Ambika daripada pertuduhan membunuh Adelina Lisao, 28, pada 10 Februari 2018.

Pada April 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Ambika daripada pertuduhan tersebut atas alasan berikutan pihak pendakwaan ketika itu tidak memberikan alasan kukuh apabila mengemukakan permohonan bagi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Kes penderaan Adelina menarik perhatian ramai selepas gambarnya tidur di sebelah kandang anjing di hadapan rumah majikannya dengan beralaskan tikar nipis dan berselimut tular.

Adelina yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pihak polis dalam laporan media tidak menolak kemungkinan selain didera dengan dipukul dan ditampar, pembantu rumah itu turut diabaikan kesihatannya termasuk tidak diberi makanan dan tempat tinggal yang sempurna sejak beberapa bulan lepas.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto ketika menemui media selepas tamat prosiding hari ini menyatakan, tindakan Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang baik.

Ini kerana keputusan mahkamah terdahulu yang melepas dan membebaskan Ambika telah mengecewakan Indonesia terutamanya keluarga Adelina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya