Enam kategori pengembara terikat SOP baharu - Utusan Malaysia

Enam kategori pengembara terikat SOP baharu

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada ke atas pengembara yang tiba di Malaysia bagi enam kategori dalam usaha mencegah kemasukan dan penularan Covid-19 varian Omicron, bermula esok. 

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 43 buah negara telah melaporkan kes varian baharu Omicron dengan lapan negara dikenakan sekatan perjalanan sementara bermula 27 November lalu dan lima negara lain mempunyai penularan varian Omicron dalam komuniti.

Enam kategori itu, katanya, Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Udara,  VTL Darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB), Pusat Sehenti (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek, pengembara dari negara-negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dan pengembara dari negara yang melaporkan penularan varian itu dalam komuniti.

“Bagi pengembara kategori satu hingga empat mestilah lengkap divaksinasi, ujian PCR Covid-19 dilakukan dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, menggantikan prosedur terdahulu yang menetapkan 72 jam sebelum berlepas.

“Ini termasuk ujian pengesanan Covid-19 semasa ketibaan di Malaysia, ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari ke dua, ke empat dan ke enam selepas ketibaan, ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan dan semua keputusan ujian perlu dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, kata beliau, pengembara kategori lima dan enam iaitu bagi negara dikenakan sekatan perjalanan sementara melibatkan warga tempatan dan pemegang pas lawatan jangka panjang mesti melakukan ujian PCR Covid-19 dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.

Katanya, pengembara kategori ini juga perlu memakai peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib, kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi dan mematuhi prosedur kuarantin dan pengujian semasa ketibaan dan sepanjang tempoh kuarantin adalah mengikut prosedur sedia ada.

Khairy berkata, bagi negara melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti melibatkan warga tempatan dan warga asing perlu melakukan ujian PCR Covid-19 mesti dilakukan dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia. 

“Selain itu, individu itu perlu memakai peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib, tempoh kuarantin bergantung kepada status vaksinasi, prosedur sedia ada yang diumumkan sebelum ini masih berkuat kuasa.

“Semua maklumat terperinci berkaitan jenis dan kekerapan ujian yang perlu dilakukan pengembara yang memasuki Malaysia serta syarat lain yang ditetapkan berkuat kuasa mulai esok serta akan ditambah baik mengikut situasi semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.