PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun saman 80 peratus sehingga 31 Disember ini sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Berita baik pelanjutan tempoh itu dimaklumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Menurut Acryl, lanjutan pemberian diskaun tersebut dibuat bagi membantu meringankan bebanan dan memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan saman mereka.
“Orang ramai boleh ke semua kaunter trafik seluruh negara. Pelaksanaan ini juga dibuat agar orang ramai tidak menyerbu kaunter-kaunter saman yang dibuka di seluruh negara.
“Inisiaitif ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan bebanan masyarakat kita yang terkesan selepas penularan Covid-19 di samping dapat mengurangkan jumlah saman dalam simpanan data Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu Acryl Sani yang mengulas berkenaan kesesakan dan masalah penggunaan aplikasi MyBayarSaman berkata, kesulitan berlaku disebabkan bilangan pengunjung aplikasi yang terlalu ramai.
“Saya dapat laporan terdapat kesulitan disebabkan bilangan pengunjung aplikasi terlalu ramai dan berlaku kesesakan. Kalau anda pergi le kuanter memang tiada isu sebab ia terus ke database Bukit Aman,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga tengah hari tadi hampir 2.3 juta saman seluruh negara diselesaikan dengan jumlah RM109 juta. – UTUSAN ONLINE