JEMPOL: Mengalami tekanan perasaan akibat dibuli adalah perkara terpaksa dilalui Nursyakina Mohd Syah, 24, sejak di bangku sekolah.
Ia gara-gara dirinya yang sering berdehem dan bersiul secara tidak sengaja yang akhirnya disahkan doktor merupakan sindrom penyakit Tourette dihadapinya.
Gejala utamanya adalah pesakit membuat sesuatu pergerakan atau mengeluarkan bunyi dan kata-kata secara tiba-tiba serta berulang di luar kawalan.
Berkongsi pengalamannya, Nursyakina yang juga seorang ibu tunggal mengakui kehidupan sehariannya agak sukar sejak dia mengalami sindrom Tourette ketika berusia lapan tahun.
“Oleh kerana ibu dan ayah saya kurang pendedahan tentang penyakit ini, jadi kami tidak mengambil apa-apa tindakan dan tidak membuat sebarang rawatan atau berjumpa doktor.
“Sehinggalah empat bulan yang lepas, saya telah disahkan menghidap sindrom Tourette ini. Saya alami gejala tik (kata dan pergerakan berulang) iaitu berdehem, batuk dan bersiul secara tidak sengaja,” katanya.
- Anggota polis rogol isteri tahanan sehingga hamil
- ‘Di asrama ramai anak iblis, mereka ikat kemaluan aku kat kipas’
- Kisah benar mangsa buli di asrama
Nursyakina yang lebih mesra dipanggil Tia menambah, walaupun melalui waktu sukar sebagai penghidap Tourette termasuk dibuli, dia menganggapnya sebagai ujian dalam kehidupan.
“Sebelum saya disahkan menghidap sindrom ini, sebenarnya saya berjumpa doktor akibat mengalami tekanan perasaan dan kemurungan yang sangat teruk kerana dibuli. Bermula dari situlah, doktor memberitahu bahawa saya sebenarnya mengalami sindrom Toureete ini.
“Saya dibuli sejak dari bangku sekolah sehingga ke tempat kerja. Ada yang tidak faham tentang sindrom ini dan menganggap bahawa ia adalah sengaja dibuat-buat. Saya juga sering bertukar tempat kerja kerana sering dibuli dan mereka suka mengejek tik yang saya alami tanpa sedar itu,” katanya.
Ibu kepada dua orang anak yang masing-masing berusia enam dan tiga tahun itu berkata, dia kini giat memuat naik video menerusi akaun TikTok bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit Tourette.
“Saya harap menerusi perkongsian saya itu, ia dapat membuka mata orang ramai bahawa sindrom ini wujud dan ibu bapa perlu lebih peka dalam melihat tumbesaran anak-anak.
“Jika nampak anak-anak mengalami tik seperti yang dinyatakan oleh pakar sebagai salah satu simptom, eloklah segera bawa berjumpa doktor. Dibimbangi semakin ketara jika tidak dirawat dan menyebabkan berlakunya tekanan perasaan yang membawa kepada perkara lebih serius,” katanya yang mempunyai seramai 128,000 pengikut di TikTok.