PETALING JAYA: Kes buli di sekolah berasrama penuh bukan rekaan sebaliknya ia banyak berlaku sehingga ada yang tidak tahan dan memilih berhenti dan kembali memasuki sekolah biasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang mangsa mendedahkan, dia sempat merasa menjadi pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pahang hanya beberapa bulan sebelum meninggalkan institusi pengajian itu.
Kata remaja berusia 13 tahun itu, dia tidak tahan kerana sepanjang tempoh di MRSM, dia menerima pelbagai ugutan malah sudah merasa sakit dipukul oleh kumpulan pelajar senior.
“Contohnya saya sampai kena pukul apabila pembuli minta makanan tetapi saya tidak bagi. Pembuli itu marah dan memukul saya secara berkumpulan sehingga membuatkan saya trauma,” ceritanya yang tidak menyesal meninggal MRSM pada pertengahan tahun ini.
Sebelum meninggalkan MRSM, dia membuat laporan kepada pihak pentadbiran dengan harapan perjalanan pengajiannya lancar malangnya keadaan lebih buruk apabila dia lebih kerap diugut.
“Hampir setiap hari ketika saya ke sekolah pasti mereka sasar kepada saya sebab buka mulut mengenai perbuatan buli,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa buli memaklumkan, dia diejek secara verbal kerana saiz fizikalnya yang didakwa lebih kecil selain dianggap datang daripada keluarga miskin berdasarkan penampilannya.
“Saya dipulaukan oleh mereka hanya sebab tidak mempunyai banyak wang. Ada masanya mereka menulis sesuatu yang memalukan saya di papan putih sehingga semua orang dalam kelas ketawa.
“Emosi saya terganggu sepanjang berada di sekolah asrama penuh tersebut,” katanya yang enggan mendedahkan sekolah asrama tersebut.
Bagaimanapun, penderitaannya berakhir selepas dia mendapat sokongan guru-guru, pelajar lain dan ahli keluarga.
“Saya sudah tidak lagi diganggu dan berjaya meneruskan pembelajaran seperti biasa,” ceritanya.
Lain pula kisah dengan seorang lagi pelajar di sebuah sekolah harian di Sarawak yang mendakwa, dia mengambil keputusan meninggalkan sekolah tersebut selepas menjadi mangsa buli hampir setahun.
“Duit belanja sekolah saya diambil, kalau saya tidak bagi mereka ugut mahu pukul saya di tandas sekolah. Akibat ugutan-ugutan itu saya sanggup poteng sekolah demi mengelak beri duit kepada pembuli,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), Datuk Sabri Arshad berkata, perbuatan buli memang wujud dan ia perlu ditangani dengan tegas oleh warden dan pentadbir asrama.
“Mangsa atau pelajar-pelajar yang mengetahui kejadian buli perlu segera membuat laporan kepada pihak pentadbiran supaya kegiatan tersebut dapat dicegah sebelum berlaku atau menjadi lebih teruk.
“Ibu bapa juga perlu bertanggungjawab dalam isu menangani disiplin anak-anak, jangan menyerahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah atau kolej semata-mata. Perlu memerhati keadaan fizikal mereka dan perlu bersikap terbuka menerima teguran mengenai disiplin anak,” kata beliau semasa dihubungi.
Senada, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan pula berharap pelajar yang menjadi mangsa buli dan mengetahui maklumat tidak mengunci mulut terhadap masalah buli.
“Pelajar tidak wajar menutup mulut demi menjaga nama baik sekolah semata- mata. Perlu lihat kepada maslahah semua pihak dan semua aspek demi membina ekosistem pendidikan selamat serta meningkatkan kepercayaan masyarakat.
“Tindakan menyembunyikan perkara ini dikhuatiri menimbulkan masalah lain seperti membawa kepada kecederaan fizikal dan kematian. Maklumat disampaikan kepada pihak yang berkenaan membolehkan penyelesaian dilakukan,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, buli menjadi budaya yang sudah meluas dan gerak kerja tertanam dalam kehidupan masyarakat tidak mengira tempat atau usia.
Menurut beliau, mangsa-mangsa buli perlu berhati-hati selain tidak mudah memaafkan pelaku kerana terdapat segelintir pelaku yang tidak menyesal dengan perbuatannya.
“Semua manusia berhak mendapat peluang kedua tetapi adakah pelaku tersebut minta maaf betul-betul ikhlas atau hanya minta maaf sebab sudah kantoi?” soalnya.- UTUSAN










