Debat Diraja IPT 2021: UIAM kekal juara kategori bahasa Inggeris - Utusan Malaysia

Debat Diraja IPT 2021: UIAM kekal juara kategori bahasa Inggeris

HASAGAYA Abdullah (tengah) menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan UIAM pada Debat Diraja IPT kategori bahasa Inggeris di Putrajaya. – UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sah terus unggul mengekalkan kejuaraan kategori bahasa Inggeris dalam Debat Diraja Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021.

Universiti berkenaan yang bertindak selaku kerajaan dalam debat ala format Parlimen itu diwakili oleh Irtza Ali Soomro sebagai Perdana Menteri dibantu timbalannya, Nur Hana Izzati Abdullah Zawawi, sementara pembahas ketiga bertindak sebagai whip kerajaan dan juga jurulatih pasukan tersebut ialah Muhammad Hilmy Mohd. Yazid serta pendebat simpanan, Anis Sufea Ismail.

Ini merupakan kemenangan kali ke-11 pasukan UIAM selepas pernah muncul juara ketika edisi pertama pada 1995 lalu selain 1997, 1999, 2000, 2001, 2004, 2007, 2015, 2018 dan 2019.

UIAM menewaskan Universiti Malaya (UM) yang diwakili oleh Luc Choong Guong Sang, Kuhan Karttikeyen Ravichandran, Danesh Ram Aggarwal Shishi Kumar dan Catherine Alicia Nathan.

Kejayaan ini membolehkan pemenang meraih trofi, wang tunai RM5,000 dan buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Pertandingan Akhir dengan hadiah disampaikan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah selaku tuan rumah kejohanan edisi kali ke-22.

Pertandingan dianjurkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Debat Universiti Malaysia dengan kerjasama DBP serta Utusan Malaysia dan Kosmo! sebagai akhbar rasmi.

Dalam pada itu, Irtza Ali, 23, pelajar tahun akhir Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM ketika ditemui berkata, pertandingan kali ini ibarat ulangan perlawanan edisi ke-21 lalu.

“Kami memang jangka menang peringkat final, malah sudah menduga akan bertemu musuh tradisi yang sama berdasarkan pusingan saringan minggu lepas,” katanya penuh bersyukur. -UTUSAN ONLINE

Sementara itu, Nur Hana Izzati, 23, turut berkongsi kegembiraan yang serupa walaupun beliau muncul sebagai satu-satunya peserta dari Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM.

“Saya cuba membuktikan pelajar bukan jurusan perundangan mampu berbahas dengan baik terutama bahasa Inggeris walaupun bukan latar belakang cita-cita sebagai peguam,” katanya.

Tidak ketinggalan ialah Muhammad Hilmy, 23, yang teruja kerana UIAM mampu meneruskan kejuaraan meskipun berlatih seminggu sebelum pertandingan disebabkan pelbagai kekangan.

“Kebetulan, saya ada pengalaman banyak pertandingan sebelum ini dan acara debat lain, bahkan kami sudah biasa dengan UM yang dianggap seumpama seteru tradisi tetap,” katanya.

Pada pertandingan separuh akhir yang berlangsung di UPNM, Kuala Lumpur semalam, dua pasukan IPT itu menewaskan pendebat dari Universiti Teknologi Mara dan Universiti Multimedia.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya