KUALA LUMPUR: Anak Tan Sri Ahmad Nawab, Nasir Khan meluahkan rasa terkilan terhadap dakwaan penyanyi terkenal era 70-an, Uji Rashid mengenai menerusi podcast, legasi podcast baru-baru ini.
Nasir mendakwa penyanyi legenda itu mengeluarkan kenyataan tidak benar, sekali gus mengguris perasaan ahli keluarga Allahyarham.
“Sebagai keluarga, hati kami terguris. Dia tidak sepatutnya berbuat begitu, tindakannya itu tidak betul.
“Orang akan hormati sekiranya dia bercakap benar. Saya tidak faham kenapa dia perlu membuat cerita.
“Kami tidak pernah usik dia, jadi kenapa pula dia mahu ganggu keluarga kami? Sebenarnya banyak cerita mengenai dia, dalam rakaman (suara) dalam simpanan tapi saya tak pernah ceritakan kepada sesiapa,” tegas Nasir yang ditemui semasa Majlis Pelancaran Buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Terbitan Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab semalam.
Uji menerusi podcast berkenaan sebelum ini mendedahkan pengalamannya bekerja dengan beberapa nama besar industri muzik tanah air antaranya Ahmad Nawab.
Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid mendakwa seniman itu sebelum ini, dalam penulisannya menyifatkan dia sebagai penyanyi yang tidak mengenang budi, sekali gus memberi bayangan hubungan dingin kedua pihak.
Nasir berkata tindakan perkongsian Uji itu tidak wajar kerana memberi persepsi tidak benar mengenai Allahyarham.
“Tindakannya itu mengaibkan orang yang sudah meninggal dunia. Selain bercakap mengenai bapa saya, dia juga memetik nama artis lain seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika. Macam mana dia nak minta maaf? Orang-orang ini sudah tiada.
“Jangan bercerita perkara tidak benar. Yang diperkatannya dalam podcast itu, ‘sampah’.
“Kita tidak tahu apa yang terpendam dalam hatinya. Cuma tolong berlaku jujur, ceritakanlah perkara sebenar,” kongsinya lagi,” jelasnya.
Menurut Nasir lagi, kenyataan Uji itu telah menjejaskan nama baik Allahyarham yang sebelum ini pernah membantu melonjakkan nama penyanyi itu menerusi lagu-lagu yang dihasilkannya.
“Banyak lagu arwah yang berjaya melonjakkan namanya, antaranya Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu. Lagu itu ada kisahnya juga, tapi dia pusing cerita,” kongsinya.
Nasir dalam masa sama mengambil pendekatan untuk tidak memanjangkan isu tersebut dan berharap ianya diselesaikan secara baik.
“Pihak yang mengendalikan podcast itu ada mempelawa saya untuk menyangkal semula kenyataan yang dibuat Uji, tetapi saya tolak.
“Buat apa saya nak popularkan dia? Tiada manfaatnya. Tidak perlulah untuk memanjangkan lagi isu berkenaan.
“Saya sekarang ini cuma berharap agar tiada pihak yang melaga-lagakan kami,” jelasnya. – UTUSAN









