PUTRAJAYA: Penganjuran Debat Diraja Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021 dilihat dapat memupuk sikap kecintaan terhadap bahasa kebangsaan sebagai wadah pembinaan negara.
Demikian rumusan tiga panel Wacana Khas anjuran oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan hos pertandingan bahas itu kali ini, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Mereka malah menyimpulkan acara tahunan berprestij itu yang sudah diperkenalkan sejak 1995 lalu, sebenarnya berupaya melonjak nilai imej bahasa Melayu sebagai alat bahasa ilmu.
“Ia bukan sahaja melahirkan siswa bernas berkomunikasi, malahan pembahas yang holistik,” kata Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.
Program wacana itu disiarkan secara atas talian melalui Studio Pesona DBP hari ini dengan panel mengupas tajuk Bahasa Citra Negara Berdaulat bersempena acara debat berkenaan.
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat Jaringan Industri dan Perhubungan Antarabangsa UPNM, Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw bertindak selaku pemudah cara wacana ini.
Edisi ke-22 itu dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Madum dengan kerjasama DBP serta Utusan Malaysia dan Kosmo! sebagai media rasmi yang sudah bermula Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Shamsul turut memberi jaminan bahawa pihak Madum sentiasa memberikan sokongan dan terus menjadi landasan pembangunan bakat penuntut IPT dalam arena debat.
Pandangan ini disokong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Prof. Dr. Muhd. Zu Azhan Yahya yang menegaskan bidang debat berupaya menjayakan misi itu.
“Elemen pertahanan sesebuah bangsa bermula dari citra negara berdaulat dengan memiliki bahasa kebangsaan yang unggul dipaksikan serta dihormati oleh semua pihak,” jelas beliau.
Bahkan ujarnya lagi, syarat untuk meletakkan asas sesebuah negara dipandang tinggi dunia luar mestilah didasarkan kepada status bahasa nasional termasuk diwartakan perlembagaan.
Mereka yang mara ke peringkat suku akhir pada Sabtu kelak jelasnya, dianggap amat bertuah kerana pertandingan itu paling tinggi tarafnya berbanding pelbagai acara debat lain negara ini.
Hujah itu turut dipersetujui Hakim Debat Diraja 2019 yang juga Ketua Bahagian Penerbitan Buku Sastera DBP, Nurul Julia Alani Henry yang mengharapkan persembahan lebih bermutu.
Beliau dalam nada nasihat menambah, para peserta pertandingan yang terlibat sewajarnya memanfaatkan peluang debat itu untuk mengamalkan budaya komunikasi dengan berkesan.
“Saya yakin anda semua memiliki semangat berpasukan yang hebat dan perasaan tinggi cinta bahasa kebangsaan apabila keluar menjadi pemimpin pada masa hadapan kelak,” katanya.
Pembahas UPNM selaku tuan rumah melakar sejarah muncul antara IPT yang berjaya masuk pusingan lapan terbaik untuk kedua-dua kategori debat dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Turut sama mara dua kategori bahasa itu ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku juara bertahan selain Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Peringkat akhir debat format ala Parlimen itu akan berlangsung di Hotel Zenith di sini pada Ahad untuk kategori bahasa Inggeris, manakala keesokan hari untuk kategori bahasa Melayu. -UTUSAN ONLINE










