Siti Hajartul Haini didakwa lagi, tipu pelaburan emas RM173,500

Siti Hajartul Haini didakwa lagi, tipu pelaburan emas RM173,500

SITI Hajartul Haini Abd Hamid (tengah) dibawa anggota polis selepas tidak mengaku bersalah lapan pertuduhan menipu berkaitan emas di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Wanita yang ditahan kerana disyaki terlibat penipuan pelaburan emas berjumlah keseluruhan RM48.5 juta dua tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini membabitkan kerugian mangsa sebanyak RM173,500.

Siti Hajartul Haini Abd. Hamid, 39, mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak yang sebelum ini pernah didakwa di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kali ini dituduh menipu seorang wanita berusia 55 tahun dengan memperdaya mangsa dalam urusan tempahan barang emas yang tidak wujud.

Dia mendorong wanita itu menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM173,500 dalam beberapa transaksi ke akaun Maybank milik tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kampung Mani Mukim Belimbing Kanan di Padang Terap, dekat sini sejak 2 Jun 2024 hingga 16 Ogos 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM190,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ku Nur Farahi Eliana Ku Abd Razak merayu mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana anak guamnya tidak bekerja dan ditanggung suami yang bekerja kampung serta menyara anak yang masih bersekolah dan ibu mentua.

Ku Nu Farahi memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh juga hadir dalam prosiding di Kuala Lumpur dan Putrajaya tanpa gagal sehingga penyelesaian kes sebelum ini.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Sharmila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sharmila turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 23 Oktober 2024, polis mengesahkan telah menahan Siti Hajartul Haini di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang bersama empat individu lain berhubung kegiatan penipuan emas dikenali ‘Pa Jewellery’ dan ‘Paddy Jewellery’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN