Ketua cabang, wanita, pemuda bukan jaminan jadi calon - Anwar

Ketua cabang, wanita, pemuda bukan jaminan jadi calon – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Johor untuk menggerakkan jentera parti menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kedudukan sebagai ketua cabang, ketua wanita atau ketua pemuda, bukan jaminan dipilih sebagai calon PRU, selain menegaskan tidak akan menandatangani watikah pencalonan selagi kekuatan cabang belum cukup kemas berdepan PRU.

“Tak ‘perform’ di cabang, jangan buat tuntutan. Kita banyak pengalaman yang merajuk, nak bantah, nak keluar, isu semua kita sudah lalui, yang jadi tunggak dan keputusan akhir adalah kekuatan sokongan.

“Bila nak PRU, bicaranya hebat, teorinya banyak, strateginya canggih tapi kekuatan kurang. Justeru, diingatkan supaya gerakkan kekuatan parti.

“Ketua cabang bukan automatik calon, ketua wanita, ketua pemuda juga bukan, tapi yang automatik jadi calon itu, mereka bekerja, berdedikasi dan mampu menangkan parti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora di sini, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengingatkan semua ahli parti agar tidak terlalu selesa setelah menjadi kerajaan, sebaliknya terus memperkukuh sokongan terhadap parti.

Katanya, setiap ahli perlu menunjukkan keikhlasan dan komitmen kerja yang tinggi dalam membina kekuatan khususnya di peringkat akar umbi.

“Kita perlu ingat, bukan mudah untuk berada di kedudukan pada hari ini. Parti ini penuh dengan perjuangan, kalau mahu pertahankan kedudukan, kita perlu tunjuk contoh yang baik.

“Ini kerana kita belum ada kekuatan untuk putuskan semua perkara. Jadi, kita perlu persiapkan diri sebelum tibanya pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN