Dasar 1 peratus OKU sektor awam jadi petunjuk prestasi - Utusan Malaysia

Dasar 1 peratus OKU sektor awam jadi petunjuk prestasi

ISMAIL Sabri Yaakob diiringi Rina Mohd. Harun beramah mesra bersama kanak-kanak golongan orang kurang upaya (OKU) yang hadir pada Majlis Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia sempena Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar Satu Peratus orang kurang upaya (OKU) dalam sektor awam akan dijadikan penunjuk prestasi bagi semua kementerian dan perlu dicapai pada penghujung 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal ini kerana pihaknya menyedari dasar itu belum mencapai sasaran.

Beliau berkata, tiga kementerian termasuk Kementerian Pertahanan setakat kini telah mencapai sasaran tersebut.

“Menyedari bahawa Dasar Satu Peratus OKU dalam sektor awam belum lagi mencapai sasaran, sukacita saya menetapkan bahawa pelaksanaan dasar ini akan dijadikan sebagai penunjuk prestasi bagi semua kementerian dan perlu dicapai pada penghujung tahun 2022.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Perpaduan Negara; Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang telah mencapai sasaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan dalam Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan OKU dan sentiasa mengiktiraf peranan mereka terutamanya dalam agenda Keluarga Malaysia hari ini.

Justeru Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu menyantuni golongan OKU secara adil serta meningkatkan penyertaan mereka di dalam pelbagai bidang.

“Sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga.

“Lebih banyak ruang dan peluang perlu diberikan untuk memastikan OKU terlibat di dalam agenda pembangunan negara,” jelas beliau.

Tambah beliau, peranan dan sumbangan golongan OKU sememangnya tidak boleh dinafikan termasuk semasa awal pandemik Covid-19 melanda.

Perdana Menteri memberikan contoh sumbangan seorang warga OKU iaitu Norfarrah Syahirah yang dilahirkan tanpa kedua belah tangan apabila secara sukarela menyumbang tenaga dengan menjahit sejumlah Pakaian Perlindungan Diri untuk kegunaan Petugas Barisan Hadapan.

“Hasil sokongan kerajaan dan pihak swasta, semakin ramai rakan-rakan istimewa kita ini boleh berdikari dan bekerja sendiri. Ada yang menjadi pemandu, pendidik serta usahawan yang berjaya.

“Bahkan wakil OKU turut berada di dalam Dewan Negara dan terlibat dalam proses meluluskan Rang Undang-undang negara,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU kepada Gustin Jenang dan Evylen Gelagar yang merupakan ibu bapa kepada Atlet Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin.

Selain itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima pengiktirafan Anugerah Korporat Prihatin sebagai pengiktirafan syarikat tersebut dalam pembangunan OKU tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN