SUNGAI PETANI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau tidak akan menangguhkan pembubaran Parlimen semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Beliau sebaliknya menjelaskan mahu memberi tumpuan penuh terlebih dahulu terhadap usaha dan langkah untuk memulihkan ekonomi negara di samping menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya mahu fokus selesaikan masalah rakyat dahulu. Politik mesti stabil, saya tak mahu politik hanya untuk propaganda atau jaga kedudukan. Saya bukan tangguh pilihan raya kerana mahu kekal berkuasa, tetapi kerana mahu memastikan ekonomi negara terus berkembang dan rakyat mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertemuan Bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) negeri Kedah, di sini, hari ini.
Katanya, ketidaktentuan politik dan pilihan raya yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur serta mengganggu usaha kerajaan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negara ini.
“Pengurusan ekonomi sangat penting dan politik perlu stabil. Jika setiap bulan diadakan pilihan raya dan keadaan politik tidak menentu, siapa yang mahu datang melabur.
“Cuba lihat negara jiran dan kekuatan mata wang mereka. Hari ini ramai yang pergi ke Indonesia dan negara lain serta dapat melihat nilai ringgit yang semakin kukuh berbanding sebelum ini,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan berteknologi tinggi serta meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengabai keperluan asas rakyat.
Tambah beliau, pengukuhan nilai ringgit ketika ini juga membuktikan kedudukan ekonomi negara semakin stabil hasil pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih tersusun dan berkesan.
Menurut Anwar, negara berkemampuan untuk menangani pelbagai cabaran termasuk menstabilkan mata wang, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan asing jika kestabilan politik dapat dikekalkan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan semua kerajaan negeri termasuk negeri yang ditadbir pembangkang kerana pembangunan rakyat perlu diberi keutamaan.
“Walaupun saya tiada kuasa mutlak dalam pentadbiran negara, saya mahu guna amanah yang diberikan untuk bantu rakyat dan memperkukuh ekonomi negara. Allah sudah uji saya dengan pelbagai dugaan termasuk keluar masuk penjara. Sebab itu saya tidak mahu guna kuasa untuk memperkaya anak, isteri atau keluarga,” katanya.-UTUSAN










