KKM mohon RM1.8 bilion laksana lima projek kesihatan di Melaka

KKM mohon RM1.8 bilion laksana lima projek kesihatan di Melaka

Dzulkefly Ahmad diberi taklimat mengenai projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak (WCC) di Hospital Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memohon peruntukan melebihi RM1.8 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melaksanakan lima projek pembangunan kesihatan utama di negeri ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM akan mengemukakan permohonan bagi kerja-kerja awalan projek-projek berkenaan terlebih dahulu sebelum memohon peruntukan pembangunan penuh mengikut fasa pelaksanaan RMK13.

Menurutnya, projek-projek berimpak tinggi itu melibatkan pembinaan hospital baharu, pembangunan blok tambahan serta pembinaan dan naik taraf klinik kesihatan di beberapa kawasan yang mencatat pertumbuhan penduduk pesat.

Beliau berkata, antara projek terbesar yang dicadangkan ialah pembinaan Hospital Berpakar Jenis 2 Hang Tuah Jaya di Durian Tunggal dengan kos anggaran RM875 juta.

“Hospital baharu ini akan dibina di atas tanah seluas 24.2 hektar dan menyediakan 400 katil. Ia akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan kardiologi, kardiotorasik, neurosurgeri serta Pusat Rawatan Ambulatori (ACC).

“Selain itu, KKM turut memberi keutamaan kepada projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak (WCC) Hospital Melaka yang melibatkan kos RM697 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja rasmi selama tiga hari sejak Jumaat berakhir hari ini di Hospital Melaka.

Selain projek pembangunan berskala besar itu, Dzulkefly turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas berjumlah RM6 juta bagi membiayai kerja-kerja baik pulih dan naik taraf fasiliti kesihatan yang dilawati sepanjang lawatan kerja tersebut.

Menurut beliau, peruntukan tambahan itu turut meliputi keperluan segera perolehan aset perubatan dan bukan perubatan yang kritikal bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat terus disampaikan dengan lebih cekap dan selesa kepada rakyat.

Dalam pada itu, KKM turut merancang membina semula Klinik Kesihatan Jasin (Jenis 2) dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah (KKBD) Jasin yang kini berusia 64 tahun.

Menurutnya, projek bernilai RM126.99 juta itu melibatkan perobohan struktur lama yang telah uzur dan pembinaan fasiliti baharu termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.

“KKM juga akan memohon kelulusan Butiran Kerja Awalan di bawah RMK13 Rolling Plan 2 (RP2) bagi projek Klinik Kesihatan Bukit Katil (Jenis 2) yang dianggarkan bernilai RM50 juta yang berfungsi sebagai pusat rujukan kesihatan sehenti bagi menampung keperluan lebih 80,000 penduduk menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Beliau menambah sebuah lagi Klinik Kesihatan Jenis 2 akan dibangunkan di Duyong dengan kos RM50 juta bertujuan mengatasi kekangan ruang yang dihadapi Klinik Kesihatan Ujong Pasir selain memenuhi keperluan penduduk di kawasan yang semakin berkembang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN