Cadang kerajaan negeri bina litar Cub-Prix di Bukit Merah

Cadang kerajaan negeri bina litar Cub-Prix di Bukit Merah

TON Zailani Mat Darus (tengah) pada Program Klinik Cub Prix Bual Santai Anak Muda Motor Show di Taiping hari ini. - FOTO/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kelab Peminat Cub Prix Malaysia mencadangkan kerajaan negeri membina sebuah litar lumba motosikal berkuasa rendah di utara negeri ini bagi memenuhi impian golongan muda terutama peminat motosikal berkuasa rendah.

Presidennya, Datuk Ton Zailani Mat Darus berkata, litar lumba itu untuk anak muda dari sekitar Daerah Larut Matang Selama dan Kerian agar mereka dapat mempamerkan bakat dalam sukan lumba motosikal.

Menurutnya, kelab itu itu mencadangkan satu kawasan di Bukit Merah dekat sini untuk pembinaan litar lumba motosikal.

“Kawasan ini sesuai kerana banyak kemudahan seperti berhampiran dengan Lebuh Raya Utara Selatan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Klinik Cub Prix Bual Santai Anak Muda Motor Show di Dewan Majlis Perbandaran Taiping dekat sini hari ini yang dihadiri lebih 200 anak muda dari Larut Matang dan Selama.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.

Ton Zailani yang juga Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau telah berjumpa dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini bagi mengemukakan cadangan itu.

Katanya, litar itu merupakan satu kemudahan dan memenuhi minat anak muda yang menggemari sukan lumba motosikal.

Menurutnya, pihaknya mencadangkan Lembah Beriah, Bukit Merah dekat sini sebagai tapak untuk pembinaan litar lumba motosikal berkuasa rendah.

“Dengan wujudnya litar lumba ini, anak muda yang sukakan sukan aktiviti lasak ini dapat mengadakan aktiviti di tempat yang betul dan secara tidak langsung dapat mencegah gejala lumba haram.

“Kita perlu memahami dan memberi perhatian yang sewajarnya terhadap kehendak dan impian golongan anak muda ini supaya aktiviti lasak kesukaan mereka dapat disalurkan pada tempat yang betul, secara tidak langsung dapat mencungkil mereka dalam sukan ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap agar Menteri Besar dapat merealisasikan keinginan anak muda di Perak Utara  dengan berbincang dengan pihak syarikat MK Land, bagi mendapatkan kelulusan pembinaan tapak litar lumba motosikal.

“Kami sedia menawarkan diri untuk menguruskan litar lumba itu jika ia dibina,” katanya. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.